SHAH ALAM: Hasrat penyanyi Ziana Zain untuk bercerai secara baik dengan Armin Zaharin tidak kesampaian apabila suaminya itu membangkitkan soal anak-anak mereka. Armin atau Armin Zaharin Ahmad Zambri, 53, memberitahu Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Selasa, dia hanya akan bersetuju melafazkan cerai terhadap Ziana sekiranya dia dibenarkan untuk berjumpa dengan anak-anak mereka. ARTIKEL BERKAITAN: Kasihan Armin! Tercari-Cari Manakah Penjamin, Tiada Siapa Menemani “Saya bersetuju untuk bercerai dengan baik tetapi dengan syarat saya dibenarkan untuk bertemu anak-anak saya. “Sejak Mac lalu saya langsung tidak dapat bertemu mereka dan berharap perkara itu dapat diambil kira oleh mahkamah,” katanya. Armin berkata demikian di hadapan Hakim Syarie, Mohd Nizar Mokhtar yang mendengar kes itu. Dalam pada itu, menjawab dakwaan Armin, Ziana selaku plantif memberitahu mahkamah, suaminya itu dihalang berjumpa dengan anak-anak atas arahan pihak polis dan peguamnya. Ini kerana kata Ziana, 50, anak-anaknya adalah saksi berhubung kes jenayah melibatkan Armin atas dakwaan mencederakan salah seorang anak mereka dan prosiding kes itu masih berlangsung di Mahkamah Majistret di sini. Sementara itu, Mohd Nizar memerintahkan sebuah jawatankuasa pendamai dilantik bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga pasangan itu dengan kehadiran pegawai perunding dilantik mahkamah. Ziana melantik adiknya penyanyi Anuar Zain sebagai wakil pihaknya manakala Armin selaku defendan melantik sahabatnya, Azizi Yaakob bagi sesi itu nanti. Armin Zaharin (kiri) ditemani rakannya Azizi Yaakob yang dilantik terlibat dalam jawatankuasa pendamai. Kes berkenaan akan disebut semula pada 28 Jun depan. Ziana dan Armin bernikah pada 9 Mei 1998 dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan empat orang cahaya mata, Muhammad Aiman, 18, dan Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9. Perkahwinan mereka mencatat sejarah tersendiri kerana ia diadakan secara terbuka dengan kehadiran ribuan peminat yang ingin menyaksikan detik istimewa itu selain ia disiarkan secara langsung menerusi TV3. Terdahulu, di Mahkamah Majistret di sini, pertuduhan jenayah terhadap Armin yang didakwa mendatangkan kecederaan terhadap anaknya dipinda kali kedua di hadapan Majistret, Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin. Mengikut pindaan itu, Armin didakwa mendatangkan kecederaan terhadap salah seoranganaknya dengan menggunakan rotan sehingga menyebabkan luka dan lebam ditangan mangsa. Kejadian itu didakwa berlaku di kediaman mereka di Denai Alam, di sini. Armin dan Ziana berkahwin pada 9 Mei 1998. Pertuduhan itu mengikut Seksyen 232 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali. Pendakwaan itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Megat Mahathir Megat Tharih Afendi. Armin,53, bagaimanapun mengekalkan pendirian tidak bersalah dan kes itu akan disebut semula pada 28 Mei ini. Sebelum ini, Armin pertama kali didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan pada 6 Mac lalu yang jika didapati bersalah tertuduh berdepan dengan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan. Pertuduhan itu kemudiannya dipinda kepada Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326. Berdasarkan akta tersebut, Armin berdepan dengan hukuman dua kali ganda hukuman atas sabitan kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun atau sebat atau boleh dikenakan denda.