suria

“Tahulah nasib kau nanti Allah balas!” - Teguran Ziana buat Armin

Armin dan Ziana berkahwin pada 9 Mei 1998 dan dikurniakan empat cahaya mata.

SHAH ALAM: Penyanyi Ziana Zain tetap mahu meneruskan proses perceraian dengan Armin Zaharin walaupun suaminya itu menggunakan anak-anak sebagai alasan untuk melambatkan proses tersebut.

Ziana atau Siti Roziana Zain, 50, berkata, dia tidak melihat sebarang jalan perdamaian di antara mereka dan merasakan perceraian adalah yang terbaik buat mereka berdua.

"Saya tetap dengan keputusan untuk bercerai walaupun dia gunakan anak-anak tetapi kita tengok macam mana nanti.

"Saya tetap dengan pendirian saya dan melihat ini (perceraian) adalah jalan terbaik," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Armin setuju ceraikan Ziana tapi ada syaratnya

Pada Selasa, Mahkamah Rendah Syariah di sini memerintahkan sebuah Jawatankuasa Pendamai ditubuhkan bagi membolehkan pasangan itu berbincang mengenai kemelut rumah tangga mereka.

Hakim Syarie, Mohd Nizar Mokhtar membuat keputusan itu selepas Armin atau Armin Zaharin Ahmad Zambri, 53, meletakkan syarat untuk bertemu dengan anak-anaknya jika ingin bercerai.

Kes itu akan disebut semula pada 28 Jun depan.

Dalam pada itu, Ziana berkata, dia tidak akan menghalang Armin untuk bertemu dengan mereka namun selepas kes jenayahnya selesai.

Kata Ziana, sebagai seorang ibu dia juga faham Armin turut mempunyai hak terhadap anak-anak mereka dan tidak akan menyekat atau memutuskan silaturahim di antara anak dan bapa.

"Sekarang saya ikut apa laporan dibuat kepada polis dan polis beritahu anak-anak adalah saksi kejadian.

Armin setuju menceraikan Ziana sekiranya dia dibenarkan bertemu dengan anak-anak mereka.

"Sehingga selesai kes mahkamah, kalau dia hendak jumpa anak saya akan benarkan sebab saya bukannya zalim, sebab saya faham itu pun anak dia.

"Dalam Islam pun kita tak boleh putuskan hubungan dengan ibu-bapa, anak-anak dengan ibu bapa tetapi kadang-kadang kes begini kita kena akur dengan undang-undang," jelasnya.

Mengulas mengenai kes jenayah melibatkan Armin yang dipinda, Ziana berkata, dia menyerahkan perkara itu kepada undang-undang menentukan apa juga keputusannya.

Bagaimanapun kata Ziana, apa juga keputusan itu nanti dia yakin Armin tetap akan menerima balasan daripada Tuhan atas perbuatannya.

"Sekarang kau boleh ketawa, tapi kau tahulah nasib kau nanti Allah balas!

Ziana nekad untuk bercerai dengan Armin.

"Mungkin tak di dunia... di akhirat. Amin. Apa-apa pun kita ikut prosedur, kita terima dan akur sahaja," katanya.

Dalam kejadian berasingan, Mahkamah Majistret di sini, meminda pertuduhan jenayah terhadap Armin yang didakwa mendatangkan kecederaan terhadap anaknya dipinda kali kedua di hadapan Majistret, Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Mengikut pindaan itu, Armin didakwa mendatangkan kecederaan terhadap salah seorang anaknya dengan menggunakan rotan sehingga menyebabkan luka dan lebam pada tangan mangsa dalam kejadian yang didakwa berlaku di kediaman mereka di Denai Alam, di sini.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 232 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Megat Mahathir Megat Tharih Afendi.

Ziana ditemani oleh adiknya, Anuar Zain ke mahkamah.

Armin bagaimanapun mengekalkan pendirian tidak bersalah dan kes itu akan disebut semula pada 28 Mei ini.

Sebelum ini, Armin pertama kali didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan pada 6 Mac lalu yang jika didapati bersalah tertuduh berdepan dengan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan.

Pertuduhan itu kemudiannya dipinda kepada Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326.

Berdasarkan akta tersebut, Armin berdepan dengan hukuman dua kali ganda hukuman atas sabitan kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun atau sebat atau boleh dikenakan denda.

Ziana dan Armin bernikah pada 9 Mei 1998 dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan empat orang cahaya mata, Muhammad Aiman, 18, dan Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.

Perkahwinan mereka mencatat sejarah tersendiri kerana ia diadakan secara terbuka dengan kehadiran ribuan peminat yang ingin menyaksikan detik istimewa itu selain ia disiarkan secara langsung menerusi TV3.

Ziana Zain, Armin Zaharin

Artikel Lain