suria

Berpuasa di rumah baharu dan ‘Sumandak Sabah’ Marsha

Marsha semakin berkeyakinan menempuh bulan Ramadan.

PENYANYI Marsha Milan Londoh memberitahu kedatangan bulan Ramadan tahun ini cukup bermakna kerana dia dan suami menyambutnya di rumah baharu.

Marsha, 33, berkata, persekitaran baharu itu membuatnya lebih bersemangat untuk menempuh ibadah puasa buat kali ketiga sejak memeluk agama Islam.

"Tahun ini puasa teruja betul sebab sambut dekat rumah baru dan persekitaran baru.

"Insya-Allah harap Ramadan kali ini berjalan dengan lancar dan lebih baik berbanding dengan tahun sebelum ini," katanya yang enggan berkongsi lokasi rumah bahrunya itu.

Dalam pada itu, Marsha berkata, walaupun masih baharu bergelar seorang Muslimah namun dia semakin berkeyakinan untuk menempuh bulan Ramadan.

Marsha dan suami, Mohamed Shaiful Nizam.

Malah kata Marsha, bulan itu sangat dinanti-nantikan kerana ia juga adalah masa untuk memperbanyakkan ibadat dan merapatkan silaturahim dengan keluarga apabila berkumpul.

"Alhamdulillah tahun ketiga berpuasa saya lebih yakin... Insya-Allah harap-harap semuanya berjalan dengan baik tanpa sebarang masalah.

"Seperti tahun lalu, awal Ramadan saya akan pulang ke kampung halaman suami di Pulau Pinang untuk bersama keluarga.

"Ia memang sangat saya nanti-nantikan kerana selain berbuka dapat solat berjemaah dan berterawih bersama keluarga," ujarnya.

Marsha mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail  pada 31 Disember 2015 di  Georgetown, Pulau Pinang.

Marsha tampil dengan single duet bersama Velvet Aduk.

Dalam perkembangan lain, Marsha berkata, dia baharu sahaja melancarkan single duet bersama penyanyi Velvet Aduk menerusi lagu rakyat Sabah berjudul Sumandak Sabah.

Kata Marsha, dia tidak menyangka lagu itu semakin diterima baik oleh pendengar bukan sahaja di negeri kelahirannya tetapi peminat di Semenanjung Malaysia.

"Alhamdulillah percubaan kami untuk merakamkan lagu rakyat Sabah nampaknya menjadi selain ia diterima baik oleh peminat.

"Harapan saya agar lagu itu dapat dikenali seperti mana lagu Anak Kampung yang menjadi fenomena sebelum ini," katanya.

Marsha Milan Londoh

Artikel Lain