ATAS rasa tanggungjawab menjaga alam sekitar, aktres Maya Karin membantu Persatuan Biologi Pemuliharaan Malaysia dalam mewujudkan satu petisyen untuk meminta kerajaan persekutuan yang baharu mengekalkan dan memperkasa satu portfolio alam sekitar. Penyanyi yang terkenal dengan kempen alam sekitar ini merayu orang ramai di laman sosialnya untuk menandatangani patisyen yang bermula pada 18 Mei lalu. "Kepada anda semua yang dihormati, kami cuba untuk mencari kira-kira 20,000 tandatangan untuk memberi impak. "Petisyen ini terdapat dalam bahasa Inggeris, BM (Bahasa Malaysia), Tamil dan Mandarin. Sila kongsikan dan galakkan lebih ramai orang untuk tanda tangan. Kami memerlukan semua bantuan anda untuk melakukan perkara ini," tulisnya di Twitter. Status Maya Karin meminta orang ramai turunkan tandatangan. Patisyen berjudul "Kami memerlukan kementerian yang berdedikasi untuk alam sekitar dalam Kerajaan Malaysia!" itu kini sudah mendapat lebih 25,000 tanda tangan. Menerusi patisyen tersebut, perletakan portfolio pengurusan alam sekitar ke dalam kementerian lain akan melemahkan usaha pemuliharaan dan perlindungan warisan semula jadi. Kumpulan itu menyeru kerajaan untuk meletakkan nilai yang tinggi ke atas portfolio ini dan memilih menteri yang ikhlas dalam melindungi alam sekitar kita. Sementara itu, Maya mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang menyokong usaha itu dan masih meneruskan usaha tersebut. "23,000 and counting! Thank you!" tulisnya. Pada 18 Mei lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan 14 anggota Parlimen Pakatan Harapan yang dilantik sebagai menteri Persekutuan. Bagaimanapun, sehingga kini menteri bagi menerajui Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar tiada dalam senarai tersebut.