PENYANYI Haqiem Rusli yang berselisih faham dengan penyanyi Asfan Shah meminta netizen berhenti bercakap perkara buruk tentangnya di media sosial. Haqiem atau nama sebenarnya Ridzuan Haqiem Rusli, 20, berkata hati dia terluka dengan kata-kata negatif yang dilemparkan kepadanya. Malah, Haqiem juga telah mencipta sebuah lagu berjudul Aku, Hati dan Perasaan untuk orang yang membencinya. "Lagu untuk sesiapa yang membenci saya. Tolonglah berhenti, ada salah saya, maafkanlah. Luahan Haqiem menerusi lagu baharunya. "Janganlah membenci, jangan Tweet benda buruk tentang saya lagi. Cukup-cukuplah buat hati insan seni ini terluka, tolong," kata Haqiem. Haqiem memuat naik lagu dan luahan tersebut menerusi laman Twitternya pada Jumaat dan mendapat perhatian pengikutnya. Rata-rata peminat memberi kata-kata semangat kepada penyanyi Segalanya ini dan berharap dia kuat menghadapi dugaan. "Kekal kuat Haqiem. Awak sedih, kami Qiemilio turut sedih. Haqiem kena kuat untuk menempuhi dugaan ni semua. Salah faham antara Haqiem (kiri) dan Asfan sudah diselesaikan. "Apabila mereka dah penat mengata awak, mereka akan senyap. Lihat pada pandangan yang positif Haqiem. "Awak ada ramai yang sokong dan suka karya awak. Jangan ambil kisah dengan orang yang negatif. Buang masa saja. "Sentiasa kuat dik. Lumrah hidup ada saja perasaan iri hati bila nampak orang tu ada kelebihan. Kami sentiasa sokong awak," komen beberapa peminatnya. Sebelum ini, Haqiem dikatakan menuduh Asfan menciplak lagu ciptaannya dan pandangannya itu telah disalah ertikan oleh beberapa pihak. Menerusi temu bual bersama mStar Online pada Khamis, Haqiem berkata dia tidak berniat ingin menuduh Asfan namun pandangannya itu telah disalahertikan oleh beberapa pihak.