PERMAINAN digital terkini yang diadaptasi daripada drama bersiri TV, Mak Cun iaitu Mak Cun's Adventure berjaya mencapai hampir 100,000 muat turun selepas sebulan dilancarkan. Aplikasi permainan mudah alih yang dibangunkan oleh Media Prima Labs itu mencipta rekod tersendiri apabila mencapai 75,000 muat turun dalam jangka masa hanya satu minggu. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Digital, Rafiq Razali, jumlah tersebut membuktikan penerimaan orang terhadap permainan lokal dan secara tidak langsung memperkukuhkan jenama Mak Cun dan Media Prima Labs. "Ini adalah satu berita yang sangat menggembirakan. Baru sebulan dilancarkan sudah mencapai muat turun 94,500. "Tapi dalam masa yang sama, kami akan sentiasa berusaha untuk menambah baik setiap aplikasi kami supaya dapat memberi kepuasan maksimum kepada semua pengguna. Rafiq dan Erma melancarkan aplikasi Mak Cun's Adventure pada Mei lalu. "Kami menyasarkan akan mencapai angka 100,000 dalam tempoh tiga bulan," katanya kepada mStar Online. Permainan Mak Cun’s Adventure yang terdapat dalam bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sudah berada di Google Play Store dan Apple App Store sejak awal Mei lalu. Mak Cun's Adventure atau Diner Dash versi tempatan ini menampilkan karakter utama Mak Cun di mana anda berperanan membantu Mak Cun menyiapkan pesanan para pelanggan warungnya. Tambah menarik lagi, lagu tema Mak Cun juga turut menjadi runut bunyi asal bagi permainan mudah alih ini. Drama komedi popular yang bersiaran mulai 7 April lalu dibintangi Erma Fatima, Datin Seri Umie Aida, Dato' Rahim Razali, Aiman Tino, Jay Nazif, Awie, Erra Fazira, Ziana Zain dan ramai lagi.