suria

Farid Kamil terpaksa tangguh bedah lutut

Farid Kamil menangguhkan pembedahan lututnya yang sepatutnya dilakukan pada Mei lalu.

PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil terpaksa menangguhkan pembedahan pada bahagian lutut kirinya kerana terjatuh yang sepatutnya dilakukan pada Mei lalu.

Farid, 37, berkata, dia membuat keputusan itu selepas mengambil kira faktor proses pemulihan yang mengambil masa selama enam bulan sekali gus ia menggangu perjalanan karier seninya selain prosiding mahkamah terhadapnya yang sedang berlangsung.

“Saya terpaksa tangguhkan pembedahan itu terlebih dahulu kerana ia mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan untuk pulih.

“Tempoh itu sekali gus akan menjejaskan karier seni dan jadual saya selain mengambil kira kes mahkamah yang sedang berlangsung,” katanya.

Farid ditemui selepas hadir ke Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat bagi sebutan semula lima kes jenayah terhadapnya namun kes itu ditangguhkan pada 27 Ogos depan.

ARTIKEL BERKAITAN: Farid Kamil akan jalani pembedahan, kes mahkamah ditangguh

Enam pertuduhan jenayah terhadap Farid akan disebut semula pada 27 Ogos depan.

Pada 2011, tempurung lutut kirinya retak akibat terjatuh ketika menjalani penggambaran filem Dampak dan ia meninggalkan kesan sehingga ke hari ini. 

Dalam pada itu, Farid berkata, buat masa ini dia menjalani rawatan fisioterapi bagi mengurangkan risiko kecederaannya sebelum mendapat tarikh baharu pembedahan.

Kata Farid, dia tetap akan menjalani pembedahan kerana jika kecederaan itu dibiarkan ia akan bertambah teruk.

“Buat sementara ini saya sedang menjalani rawatan fisioterapi sebelum saya mendapatkan tarikh baru.

“Saya tetap akan jalani pembedahan cuma sedang susun jadual dan selesaikan beberapa tugas tertangguh kerana proses pemulihan memakan masa.

“Buat sementara ini, tawaran filem genre aksi saya tolak terlebih dahulu untuk kurangkan risiko kecederaan,” jelasnya.

Farid Kamil terpaksa menolak tawaran berlakon filem aksi ekoran kecederaan pada bahagian lututnya.

Sementara itu, peguam Farid, Faizul Mohd Nasir memberitahu pihaknya masih dalam proses penilitian dan mengkaji semua pertuduhan terhadap anak guamnya berhubung permohonan representasi kepada Jabatan Peguam Negara bagi menggugurkan semua pertuduhan yang dikenakan terhadap Farid.

Sebelum ini Farid mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan iaitu memasukkan dadah jenis THC (Tetra Hydrocannibol) iaitu dalam kumpulan ganja ke dalam badannya.

Suami kepada aktres Datin Diana Danielle itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya kira-kira pukul 4.30 petang, 11 Januari 2018.

Farid turut mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan termasuk menampar seorang anggota polis trafik di Balai Polis Kota Damansara juga pada 11 Januari lalu. Dia yang ditahan telah dibebaskan dengan ikat jamin pada 16 Januari lalu.

Pelakon filem Lagenda Budak Setan itu turut didakwa mereka keterangan palsu bersabit sebuah laporan polis dengan memasukkan maklumat palsu dan tidak benar yang mana laporan itu boleh digunakan dalam prosiding jenayah dan diambil pertimbangan oleh pegawai polis yang menerima laporan itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan jam 5.54 petang pada 31 Januari lalu di Balai Polis Taman Tun Ismail, Kuala Lumpur.

Farid Kamil

Artikel Lain