suria

Atikah Suhaime, Awi Rafael sepatutnya nikah awal

Mengikut perancangan, pasangan Awi Rafael dan Atikah Suhaime akan melangsungkan perkahwinan pada 17 Mac tahun depan di Singapura. Foto M. AZHAR ARIF

PELAKON Atikah Suhaime dan tunangnya, Awi Rafael pada dasarnya ingin berkahwin lebih cepat berbanding perancangan asal iaitu 17 Mac tahun depan.

Bagaimanapun kata Atikah, selepas mengambil kira faktor masa dan tempoh persiapan oleh keluarga kedua-dua belah pihak yang menginginkan sebuah majlis sempurna maka mereka terpaksa akur pada tarikh 17 Mac itu.

"Kalau diikutkan memang kami mahu mempercepatkan majlis perkahwinan walaupun baru sahaja bertunang Mac lalu tetapi banyak faktor yang perlu kami akur.

"Paling utama adalah permintaan keluarga yang ingin membuat persiapan agar majlis kami nanti meriah dan dapat dihadiri oleh semua kaum keluarga," katanya.

Atikah ditemui pada majlis pelancaran muzik video terbaharu Awi berjudul Ini Semua Dunia yang diadakan pada malam Isnin.

Pasangan ini bertunang pada 17 Mac lalu.

Pelakon filem My Stupid Boss itu juga turut hadir bagi membuat kejutan bersempena ulang tahun hari lahir Awi ke-32 yang dianjurkan oleh syarikat rakamannya, Warner Music Malaysia.

Sementara itu, Atikah berkata, dia tidak merasakan hubungannya dengan Awi terlalu terburu-buru ekoran mereka bertunang selepas tiga bulan menjalinkan hubungan.

Ini kerana kata Atikah, walaupun usia percintaan mereka masih baharu tetapi mereka sebenarnya sudah lebih lapan tahun mengenali antara satu sama lain.

"Saya sejujurnya sudah bersedia bergelar isteri dan begitu juga Awi. Faktor tempoh hubungan kami bukan alasan kerana kami sudah lama mengenali.

"Cuma sebelum ini saya tak sedar jodoh saya di depan mata... Macam drama pula!

"Apa-apa pun semua ini berbalik kepada jodoh dan Alhamdulillah kami berdua serius dengan hubungan ini," katanya.

Pasangan itu melangsungkan pertunangan di Singapura pada 17 Mac lalu.

Artikel Lain