suria

Konsert terakhir Altimet pada usia 40 tahun

Altimet merancang untuk mengadakan mini konsert sebelum bersara daripada bidang seni.

PENYANYI Altimet berhasrat untuk mengadakan mini konsert sempena bakal bersara daripada dunia seni iaitu pada hari jadinya ke-40 pada 27 November depan.

Altimet berkata persembahan itu diadakan bagi memberi penghargaan kepada semua peminat setianya yang menyokong kerjayanya selama ini.

“Saya memang ada perancangan untuk mengadakan mini konsert sebelum saya bersara daripada membuat persembahan dalam industri seni.

“Konsert tersebut istimewa untuk peminat-peminat dari mula hingga kini serta peminat baharu yang sentiasa menyokong karya saya.

“Tapi buat masa sekarang, masih dalam perbincangan. Belum ada tarikh atau lokasi yang ditetapkan... Perlu ada susunan perancangan yang betul,” kata Altimet kepada mStar Online.

Altimet bakal bersara pada November depan.

Sebelum ini, penyanyi lagu Amboi ini pernah mengeluarkan kenyataan bakal bersara daripada melakukan persembahan dalam industri seni apabila usianya genap 40 tahun.

Dalam pada itu, Altimet mempertaruhkan lagu terbaharunya berjudul Bunga bagi percalonan awal Muzik-Muzik 33.

Menurut Altimet, dia akan memilih penyanyi untuk menyanyikan lagu tersebut sekiranya layak ke peringkat seterusnya selepas persaraannya nanti.

“Pentas Anugerah Juara Lagu bukanlah hanya untuk penyanyi sahaja tetapi untuk pengkarya lagu. Jika lagu saya layak ke peringkat seterusnya, saya akan pilih penyanyi lain untuk menyanyikan.

“Seperti sebelum ini penyanyi Aizat juga pernah menyanyikan lagu Yuna iaitu Terukir Di Bintang dan tidak ada siapa pun yang mempertikaikan,” ujarnya.

Altimet pernah memenangi persembahan terbaik di Anugerah Juara Lagu 32 menerusi lagu Amboi.

Altimet, Amboi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain