suria

“Buat baik pun kena kecam” - Alvin Chong

Alvin Chong tidak menjadikan kritikan dan kecaman di media sosial sebagai senjata bagi melemahkan semangatnya. Foto SHAARI CHE MAT

PETALING JAYA: Pelakon Alvin Chong tidak menjadikan kritikan dan kecaman di media sosial sebagai senjata yang akan melemahkan semangatnya daripada terus memperbaiki diri sebagai seorang selebriti.

Alvin mengakui dia jarang membaca komen negatif yang ditinggalkan di ruangan komen Instagramnya kerana tidak mahu dirinya diselebungi aura negatif.

"Sebenarnya buat benda baik pun orang kecam... jadi saya tidak terlalu memberi perhatian kepada perkara negatif dan ia tidak pernah melemahkan semangat saya.

"Kebiasaannya saya tak baca pun komen dan jika ada yang melampau sehingga menimbulkan perbalahan saya padam komen itu atau sekat akaunnya," kata Alvin.

Alvin bergandingan dengan Shuk (Balas).

Alvin ditemui pada majlis pelancaran program I Can See Your Voice Malaysia yang diadakan baru-baru ini.

Pelakon itu bakal bergandingan dengan Shuk (Balas) sebagai hos program itu yang bakal bersiaran 4 Ogos depan, setiap Sabtu, 10 malam di ntv7.

Dalam pada itu, Alvin berkata, dia terbuka dengan kritikan membina peminat terhadap dirinya sebagai hos program itu memandangkan ia adalah kali pertama dia bertindak sebagai pengacara program berbahasa Melayu.

"Saya terbuka kepada kritikan jadi memang banyak kelemahan yang perlu saya perbaiki.

"Mana nasihat dan kritikan membina saya ambil dan kata-kata negatif bersifat menjatuhkan saya abaikan sahaja," katanya.

Alvin semakin diminati.

Bercakap lanjut mengenai program itu, Alvin berkata, pada awalnya dia tidak mempunyai keyakinan kerana sedar penguasaan bahasa Melayunya belum cukup sempurna.

Bagaimanapun kata Alvin, dia menyahut cabaran itu kerana melihat ia adalah peluang untuknya memperbaiki diri dalam menjadi seorang yang lebih baik pada masa hadapan.

"Jujurnya sepanjang rakaman program ini saya rasa penguasaan bahasa Melayu saya lebih baik dan lebih yakin.

"Rakan artis seperti Shuk dan Jihan Muse banyak bantu saya dan tidak dilupakan krew produksi yang saya anggap 'guru' kerana mereka banyak ajar saya bahasa pasar dan penggunaan slang agar gandingan saya dengan Syuk tidak kelihatan kekok," jelasnya.

Alvin Chong

Artikel Lain