HAMPIR dua tahun menderita masalah kulit kronik yang berpunca daripada alergi dan eczema, penyanyi dan komposer Awi Rafael memberitahu keadaannya semakin pulih selepas mengubah cara pemakanan. Awi atau Muhammad Namawi Ewan Gunawan Rafael, 32, berkata, sejak beberapa bulan lalu dia mengamalkan diet vegeterian selepas ia diperkenalkan oleh tunangnya sendiri, Atikah Suhaimie dan ia mula memberi kesan positif pada masalah kulit dihadapinya. "Sebelum ini macam-macam cara saya guna untuk pulihkan penyakit termasuk berjumpa doktor tetapi keadaan saya tidak juga beransur pulih. "Kebetulan Atikah juga memang seorang vegeterian dan dia minta saya cuba diet itu yang mungkin boleh membantu masalah saya. Awi menderita penyakit kulit kronik hampir dua tahun. "Alhamdulillah, faktor pemakanan itu juga penting sebenarnya bagi memulihkan masalah kulit saya dan dengan hanya makan sayur-sayuran ia berhasil untuk saya," katanya. Awi ditemui pada majlis pelancaran muzik video single terbaharunya, Ini Semua Dunia yang diadakan pada malam Isnin. Sebelum itu, satu majlis kejutan bersempena hari jadinya yang ke-32 diadakan yang turut dihadiri oleh rakan artis terdekat seperti Yasin Sulaiman dan Altimet. Awal tahun ini, Awi pernah mendedahkan dia gementar apabila doktor memberitahu masalah kulit kronik dihadapinya berhadapan risiko kanser namun bersyukur dia bebas daripada penyakit itu. Awi dan tunangnya, Atikah Suhaime. Atas dasar itu juga kata Awi, dia akan meneruskan diet tersebut memandangkan ia memberi kesan positif kepada kesihatannya. Sementara itu, bercakap mengenai single terbaharunya, Awi berkata, seiring dengan peningkatan usianya, ia turut memberi kesan kepada karya-karyanya termasuk dalam Ini Semua Dunia. Kata Awi, menerusi lagu itu, dia ingin mengangkat mesej dakwah secara santai kepada pendengar bahawa dunia ini hanya sementara dan tiada yang kekal selamanya. "Setahun saya banyak menyepi dan kemunculan single baharu dan album ketiga tidak lama lagi sebenarnya adalah memperlihatkan penghijrahan saya dalam pelbagai perkara termasuk karier dan peribadi. Antara rakan artis dan wakil syarikat Warner Music Malaysia yang hadir memberi kejutan kepada Awi. "Menerusi Ini Semua Dunia saya zahirkan apa yang saya belajar tentang kehidupan dan ingin berkongsi dengan pendengar prespektif saya tentang kehidupan dan apa yang patut kita utamakan kerana tiada apa yang kekal selamanya," katanya. Tambah Awi, album ketiganya yang berjudul Euforia yang membawa maksud kegembiraan turut mengangkat tema sama iaitu tentang kehidupan dan mengangkat mesej positif. "Saya tidak kisah jika ada orang melabel album itu nanti sebagai album nasyid atau ketuhanan kerana ia memang mengangkat tema itu. "Malah saya berbangga jika ada meletakkan ia begitu kerana ia satu perkara yang baik dan memberi manfaat," katanya. Awi berkata, dia menyasarkan album yang mempunyai lapan buah lagu itu akan berada di pasaran pada penghujung tahun ini.