PELAKON dan penyanyi Ayda Jebat sebolehnya akan mengelak untuk melakonkan babak bersentuhan yang melampau. Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat, 26, berkata dia tahu penonton sudah bijak untuk menilai babak mesra tanpa perlu berpelukan atau berpegangan tangan. Menurut Ayda, drama terbaharu lakonannya, Cinta Bukan Kristal antara karya kurang babak bersentuhan antara dia dan hero utama iaitu Sharnaaz Ahmad. "Untuk drama terbaharu lakonan saya dan Sharnaaz, saya guna pendekatan untuk kurangkan bersentuhan. "Tak ada langsung babak peluk atau bersentuhan tapi boleh dikatakan saya boleh kira berapa kali sahaja saya pegang tangan Sharnaaz dalam drama itu. Drama Cinta Bukan Kristal gandingan Ayda, Sharnaaz dan Nina Iskandar. "Penonton zaman sekarang ini dah bijak. Walaupun tak pegang, mereka dapat rasa dan tahu ia bermaksud sayang," kata Ayda kepada mStar Online. Drama bersiri itu sudah ditayangkan pada Rabu lalu menerusi saluran Akasia TV3 pukul 7 malam. Tambah pelakon drama bersiri Dekatkan Jarak Kita ini, ada babak yang masih memerlukan sentuhan namun ada cara yang lebih baik. "Kita kena ajar penonton ada babak perlu bersentuhan dan ada yang tak perlu. Bagi saya, mana yang perlu kita buat. "Tapi kalau yang tak perlu tu, tak payah la. Ada banyak cara untuk kita tak buat babak sebegitu," ujarnya. Ayda tunggu masa yang sesuai untuk keluarkan lagu terbaharu. Dalam pada itu, Ayda masih mencari masa yang sesuai untuk mengeluarkan single terbaharu berjudul Temberang. Kata penyanyi Pencuri Hati ini, dia ingin memberi peluang kepada lagu-lagu yang popular sedang menjadi perhatian terlebih dahulu. "Sekarang ni saya tengah pilih tarikh yang sesuai untuk keluarkan lagu terbaharu. Lagu ini ciptaan saya, Hael dan Ezra Kong yang sebenarnya dah setahun lalu. "Sebagai seorang rakan artis yang baik, banyak lagu tengah keluar sekarang ini yang popular, saya tak nak curi perhatian mereka. "Sebab saya pun tak nak orang lain curi perhatian saya. Jadi, saya biarkan mereka dahulu," katanya.