suria

Penantian 7 tahun Kaka Azraff bakal berakhir tahun hadapan

Kaka bakal keluarkan album pertama pada tahun hadapan. Foto: SHAARI CHEMAT.

SUBANG JAYA: Penyanyi Kaka Azraff bakal mengeluarkan album penuh pertama selepas tujuh tahun dalam industri muzik pada awal tahun hadapan.

Kaka, 29, berkata dia tidak pernah berasa kecewa biarpun mengambil masa yang lama untuk mempunyai album penuh kerana mempercayai rezeki itu akan datang pada waktu yang tepat.

“Alhamdulillah, album pertama saya sudah 20 peratus dan Insya-Allah akan siap sepenuhnya pada awal tahun hadapan.

“Album ini merupakan ‘first baby’ saya selepas tujuh tahun dalam industri muzik. Biarpun mengambil masa yang lama untuk ada album tapi saya tak ada berasa kecewa.

“Sebab saya percaya kalau Allah nak beri sesuatu mesti pada waktu yang tepat. Album ini juga untuk menghargai peminat yang selama ni menyokong saya,” kata Kaka kepada mStar Online.


Kaka Azraff.

Penyanyi lagu Sibuk ini ditemui ketika Siaran Luar Suria Bersama Mydin di Mydin USJ, di sini pada Sabtu.

Menurut Kaka, album tersebut akan mengandungi tujuh buah lagu terbaharu yang berkonsepkan seperti lagu terbaharunya Sibuk.

Kata Kaka, peminat juga boleh mengenali lebih dekat tentang dirinya menerusi lagu-lagu dalam album pertamanya.

“Album saya itu mempunyai tujuh buah lagu baharu dan termasuk lagu Sibuk. Saya pilih lagu baharu sebab nak beritahu peminat ini adalah Kaka yang baru.

“Peminat juga boleh mengenali saya lebih dekat menerusi album ini sebab lagu-lagu itu ada berkaitan dengan diri saya,” ujarnya.

Kaka Azraff, Sibuk

Artikel Lain