suria

Usahawan dakwa Aliff songlap duit, mungkir janji...katanya kerana krisis rumah tangga

Aliff Aziz didakwa tidak tepati janji.

PENYANYI Aliff Aziz sekali lagi dihimpit kontroversi apabila didakwa tidak menepati janji yang dibuat selepas meminjam sejumlah wang daripada seorang individu yang dikenali sebagai Rashidi Ramli.

Rashidi yang juga seorang ahli perniagaan mendedahkan beliau berasa tertipu dengan penyanyi berasal dari Singapura itu.

Beliau mendakwa, pada awalnya penyanyi itu merayu untuk meminjam sejumlah wang dan berjanji untuk mempromosi produk miliknya.

"Saya kenal dengan Aliff sejak bulan puasa lalu di sebuah karnival. Tapi kami tidaklah rapat dan tiba-tiba minggu lalu dia hubungi saya untuk pinjam duit.

"Dia telefon saya malam-malam dan minta saya transfer sejumlah wang kerana terdesak dan dia juga berkata berhadapan dengan masalah masalah rumah tangga membuatkan saya rasa simpati.

"Pada mulanya saya enggan melayan kerana tidak berapa kenal tapi bila dia mendesak dan berjanji untuk mempromosi produk saya membuatkan saya menukar fikiran," ujarnya kepada mStar Online.

Rashidi dakwa Aliff Aziz rayu untuk pinjam duit.

Rashidi mendedahkan perkara itu di laman sosial Facebook miliknya pada Isnin.

Sementara itu, Rashidi berkata, selepas memberi sejumlah wang, Aliff sudah sukar untuk dihubungi dan kemudian meminta dia menambah lagi jumlah wang yang diberikan.

"Lepas saya buat pindahan dan hubungi dia keesokan hari, dia tidak menjawab dan lambat untuk membalas mesej saya.

"Dia balas selepas beberapa kali saya hubungi dan dia minta saya tambah jumlah itu jika mahu dia membuat posting di IG," katanya.

Tambahnya lagi, dia meminta pelakon Meh Sandar Pada Aku itu untuk memulangkan duit tersebut, namun gagal.

Katanya, Aliff enggan memulangkan duit berkenaan selepas diminta dan memberitahu bahawa dia sudah membuat posting berkaitan produk tersebut.

"Mulanya dia yang tawarkan untuk buat lapan minggu posting percuma, namun bila sudah dapat duit itu, dia kata jumlah tersebut tidak cukup. 


Status yang dimuat naik Rashidi.

"Bila dia suruh saya tambah duit, saya minta dia pulangkan sahaja tapi dia tidak mahu dan kata sudah buat posting itu.

"Ya, dia ada buat satu posting tentang produk itu tapi selepas sehari dia memadamkannya," ujarnya.

Dalam pada itu, Rashidi berkata, dia tidak berniat untuk mengaibkan mana-mana pihak, sebaliknya mahu menjadikan ia sebagai pengajaran kepada orang lain agar tidak tertipu.

"Dulu saya pun tak percaya bila orang viral pasal artis. Mungkin helah marketing. Sebab pada saya tak kan artis nak tipu orang sebb dia ada nama. Nanti naya diri dia sendiri. So disebabkan fikiran kita yang mcm tu lah kita senang ditipu termasuk diri saya.

"Tapi bila saya kena tipu macam ni saya terpanggil untuk dedahkan pada umum supaya jadi pengajaran dan ramai oanrg tak kena macam saya lagi. Terpulang nak percaya atau tidak," ujarnya menerusi catatan pada laman media sosial itu.

Rashidi berkata, dia akan membuat laporan polis pada Selasa berikutan masih berada di luar kawasan.

Sementara itu, pihak mStar Online cuba menghubungi Aliff Aziz namun masih gagal dan difahamkan dia kini berada di Singapura.

Aliff Aziz

Artikel Lain