suria

Sharifah Sakinah terima aduan, minta tegur tindakan hipokrit Fazura

Sakinah akui tindakan selebriti sentiasa jadi perhatian.

PELAKON Sharifah Sakinah mendedahkan bahawa dia menerima banyak emel aduan berhubung bentuk publisiti yang digunakan Fazura dan pasukannya pada Minggu Fesyen Kuala Lumpur lalu.

Sakinah berkata, kebanyakan mereka meminta dia menegur tindakan Fazura yang menggunakan remaja bersaiz besar sebagai gimik dalam persembahan fesyen tersebut.

"Sejak Minggu Fesyen Kuala Lumpur saya menerima surat-surat mengenai publisiti yang digunakan oleh Fazura dan pasukannya. 

"Mereka mengadu bahawa Fazura telah menggunakan remaja berlebihan berat badan untuk menunjukkan gimik dan semangat wanita berbadan besar, manakala dia tanpa malu mempromosikan produk pelangsingan di IG untuk menjadi kurus," ujarnya di Instagram pada malam Isnin.

Sakinah memuat naik emel aduan yang diterima.

Pelakon Girlfriend Aku Dari Neraka itu turut memuat naik emel yang diterima daripada segelintir individu yang mahu dia menegur dan memberi pendapatnya tentang tindakan isteri kepada pelakon Fattah Amin itu yang dikatakan hipokrit.

Dalam pada itu, Sakinah berkata, dia melihat niat sebenar Fazura adalah untuk memberi semangat dan keyakinan kepada wanita muda tanpa mengira saiz dan bentuk badan mereka.

Bagaimanapun dia juga faham tentang kebimbangan pengadu bahawa kuasa selebriti sangat mempengaruhi minda peminatnya dan mereka mahu Fazura menyedari hal itu.

"Apa pun saya rasa terserah kepada individu itu sendiri bagaimana dia mahu saiz badan mereka. Kalau nak lebar atau kurus, yang penting pilih produk yang betul dan exercise, itu pilihan anda sendiri," ujarnya.

Tindakan Fazura menggunakan model bersaiz besar tidak disenangi segelintir pihak.

Sementara itu, Sakinah berkata, sebagai selebriti dia menyedari bahawa masyarakat akan melihat segenap perkara walaupun hanya dalam satu gambar.

"Saya sedar orang melihat setiap perkara walaupun sekadar dalam gambar. Inikan pula yang berjaya seperti Fazura. Dia perlu sedar dan berfikir tentang reaksi 360 darjah yang akan diterimanya. Tapi kadang-kala saya sendiri tidak kisah tentang pendapat orang.

"Kepada semua selebriti teruskan usaha dan kerja keras yang baik. Kepada yang menghantar emel kamu tahu saya berdiri menyebelahi siapa," ujarnya.

Sharifah Sakinah, Fazura

Artikel Lain