PETALING JAYA: Pelakon Anzalna Nasir mendedahkan ibu mertuanya terpaksa menanggung kerugian ratusan ribu ringgit gara-gara ditipu seorang wanita. Enggan mendedahkan identiti sebenar wanita tersebut, Anzalna bagaimanapun menggambarkan individu tersebut sebagai seorang yang bertudung dan berkaca mata namun adakalanya tidak mengenakan hijab. "Ibu mertua saya baru kehilangan ratusan ribu ringgit. Rasa macam nak sebut sahaja nama perempuan tu. "Bertudung dan berkaca mata tapi kadang-kadang dia bukan tudung, Sis keliru!," katanya. Dalam pad itu, Anzalna ketika dihubungi memberitahu tidak menyangka pendedahannya itu turut membawa kepada pembongkaran lebih banyak penipuan wanita tersebut. Perkongsian Anzalna di Instagram berhubung isu ibu mertuanya menjadi mangsa penipuan seorang wanita. Kata Anzalna, dia dan suaminya, Muhammad Hanif banyak menerima mesej peribadi (DM) daripada pengikutnya yang mendedahkan turut menjadi mangsa individu sama. "Niat hendak menolong wanita itu yang kononnya dalam kesusahan rupanya adalah penipuan semata-mata. "Tak sangka juga ramai turut menjadi mangsa individu sama dan kami dapat banyak mesej berhubung perbuatan wanita itu," katanya. Anzalna berkata, dia mendedahkan perkara itu kerana tidak mahu ada pihak lain yang turut menjadi mangsa penipuan dan lebih berhati-hati. Kata Anzalna, pada zaman hari ini ada segelintir pihak sanggup melakukan apa sahaja termasuk menipu semata-mata untuk menunjuk kemewahan di media sosial. Anzalna dan suami, Muhammad Hanif. "Kami anggap semua ini ada hikmah. Zaman sekarang ni memang senang sangat ditipu. Berhati-hati la... Ramai yang nak tunjuk hidup mewah terutama sekali di media sosial sanggup meminjam, menipu duit orang. "Dah menipu kantoi, mula la keluar segala ayat dalam Al-Qauran minta simpati kononnya mangsa keadaan. Bersyukurlah dengan apa yang Allah bagi, hidup ikut kemampuan kita. "Anzalna kongsi sebab taknak korang pun terkena. Jangan ingat lelaki je boleh buat kerja ni, perempuan pun hebat juga," jelasnya. Sementara itu, suami Anzalna, Muhammad Hanif menerusi Instagramnya pula memaklumkan pihaknya sudah membuat laporan polis berhubung perkara itu selain tindakan undang-undang. Dedahnya lagi, sudah hampir setahun ibunya menjadi mangsa penipuan wanita tersebut hingga menyebabkan ibunya terpaksa menanggung kerugian besar. Hanif memberitahu sudah mengambil tindakan undang-undang terhadap wanita tersebut. "Sudah hampir setahun ibu saya ditipu, ratusan ribu telah diambil oleh perempuan yang tak bertanggungjawab ini. "Segala tindakan undang-undang telah diambil (sivil dan jenayah). Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh bersepai juga. "Semoga diberikan hidayah dan mendapat balasan yang setimpal. Saya percaya Allah SWT bersama-sama dengan orang yang teraniaya! Terima kasih," katanya. Tambah Hanif lagi, buat masa ini dia masih belum terfikir mendedahkan identiti wanita itu dan menunggu masa sesuai untuk berbuat demikian. "Saya masih tidak membuka aib beliau lagi. Tunggu la masa yang sesuai, saya akan dedahkan juga untuk memberikan iktibar kepada orang ramai dan tidak tertipu lagi dengan perempuan ini," tulisnya lagi.