TINDAKAN penyanyi Farah Asyikin cuba menyelamatkan motosikal berkuasa tinggi milik suaminya, Raja Iskandar Raja Muktharuddin daripada jatuh ke lantai ketika cuba mengalihkan kenderaan itu membawa padah kepadanya. Farah menerusi Instagram memberitahu dia mengalami kecederaan ligamen koyak pada kaki kirinya selepas dihempap motosikal tersebut. Cerita penyanyi lagu 1000 Penipuan itu, ketika kejadian dia mengalihkan motosikal seberat 300 kilogram itu kerana ingin meletakkan tanaman yang baru dibelinya Ahad lalu. Farah berkongsi mengenai kejadian dia ditimpa motosikal milik suaminya di Instagram. "Suami dan saya baru sahaja membeli tanaman untuk rumah kami Ahad lalu dan hanya semalam saya mempunyai masa untuk menyusunnya di taman. "Saya cuba mengalihkan motosikal Harley Davidson seberat 300 kilogram milik suami untuk memberi ruang kepada tanaman yang baru dibeli tetapi malangnya, saya dihempap motosikal itu. "Saya cuba menyelamatkan motosikal itu daripada terhempas tanpa memikirkan keselamatan diri. Alhamdulillah motosikal itu tidak mengalami kerosakan tetapi saya yang tercedera," katanya. Dalam pada itu, Farah memberitahu selepas dihempap motosikal itu dia cuba menarik kakinya dan ketika itu dia terdengar bunyi retak pada kakinya sebelum menangis kesakitan. Farah bersama suami, Raja Iskandar Raja Muktharuddin dan anaknya, Ebrahim Owais. "Saya menangis meminta bantuan anak saya, Owais yang kebetulan sedang duduk di depan pintu rumah. Dia datang menolong saya dan membawa telefon untuk saya membuat panggilan. "Secara praktikalnya saya mengheret diri kerana tidak mampu untuk bangun. Saya hubungi suami dan keluarga untuk meminta bantuan," tulisnya lagi. Sementara itu, Farah berkata dia bersyukur kerana kecederaan itu tidak membimbangkan dan dia kini dijaga dengan baik oleh suami dan keluarganya.