PENGURUS saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal menjelaskan penaja sesebuah program hiburan tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menentukan pemenang. Emarina berkata, polisi itu turut digunapakai dalam pertandingan Gegar Vaganza 4 (GV4) yang menyaksikan Aishah diangkat sebagai juara. ARTIKEL BERKAITAN: Permata itu tiada dalam senarai hadiah! Vida beri kata dua, “take it or leave it!” “Pihak penaja termasuklah untuk GV4 tidak mempunyai sebarang kuasa untuk memilih pemenang atau menarik balik keputusan. “Penaja juga tidak boleh mempengaruhi keputusan rasmi yang telah dibuat kerana format penjurian adalah tertakluk seratus peratus pemarkahan oleh juri profesional. “Segala keputusan rasmi juga telah dinilai dan disemak oleh badan audit bertauliah yang dilantik bagi memastikan proses penjurian dilakukan secara telus dan adil,” katanya kepada mStar Online. Aishah semasa menjuarai Gegar Vaganza musim keempat pada 2017. Pada Rabu, penaja program GV4 iaitu Datuk Seri Vida (DSV) mencadangkan agar gelaran juara yang diberikan kepada Aishah ditarik balik. Ia berikutan berlaku kontroversi selepas Aishah mendakwa barang kemas berupa batu permata yang diterimanya daripada Vida adalah palsu. Selain barang kemas tersebut, dia turut membangkitkan hadiah berupa tanah lot banglo yang dijanjikan tetapi sehingga sekarang tiada perkembangan positif mengenainya. Sementara itu, Emarina berkata kontroversi yang timbul itu hanya membabitkan Aishah dan Vida. Malah, dalam hal ini Astro mengambil sikap berkecuali serta tidak memihak kepada mana-mana dan mempunyai hubungan yang baik dengan kedua-kedua figura tersebut. “Kontroversi tajaan ini hanya melibatkan dua pihak iaitu Datuk Vida dan Aishah. Kami harap mereka dapat selesaikan kemelut ini dengan penuh berhemah. “Sebagai stesen penyiar kami berpendapat adalah tidak manis untuk kami berpihak kepada mana-mana individu yang terlibat dalam kontroversi ini. Emarina Mohd Kamal “Untuk makluman hadiah barangan kemas itu adalah hadiah tambahan tajaan sepenuhnya oleh penaja dan tidak termaktub dalam perjanjian asal yang ditandatangani oleh DSV dan Astro,” katanya. Dalam pada itu, Aishah ketika ditemui mStar Online berkata disebabkan pendedahan kontroversi itu, dia berharap tidak dikenakan tindakan atau digam oleh Astro. Katanya, apa yang dilakukan adalah untuk memberi kesedaran kepada anak seni supaya tidak menjadi mangsa penipuan. Sebelum ini, penyanyi lagu Janji Manismu ini mendedahkan mengenai ketulenan barangan kemas tersebut selain masih belum menerima hadiah sebidang tanah lot banglo selepas hampir setahun menjuarai GV4.