suria

Balkisyh mangsa keganasan rumah tangga, bawa anak tumpang rumah jiran

Petikan video menunjukkan Balkisyh menendang bekas suaminya (kiri) menjadi tular dan dia kini tidak takut mendedahkan kisah rumah tangganya.

PELAKON Balkisyh Semundur Khan mendedahkan dia melalui kehidupan yang perit sepanjang 11 tahun hidup berumah tangga.

Pelakon drama Mak Cun itu mendakwa, sepanjang tempoh itu juga dia cuba menyembunyikan penderitaan yang ditanggung selain membuat 14 laporan polis terhadap bekas suaminya itu.

"Saya bukan seorang yang suka mendedahkan hal rumah tangga dan kalau ada wartawan telefon pun saya cuba sembunyikan masalah dalaman saya. Tapi selepas sah bercerai September tahun lalu saya baru berani bersuara tentang apa yang saya lalui.

"Sepanjang 11 tahun berkahwin kami nampak sahaja seperti bahagia hakikatnya ia hanya dua tahun sahaja. Sembilan tahun lagi saya menderita dengan keganasan rumah tangga, selama itu 14 laporan polis yang saya buat, ada yang terpaksa tarik balik,” ujarnya kepada mStar Online.


Balkisyh bersama dua cahaya matanya.

Balkisyh dan Mohd Aizad Rosli berkahwin pada tahun 2007 dan mereka sah bercerai pada 5 September lalu.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua anak iaitu Nur Qalesya, 7, dan Muhamad Nor Qaisyh Khan, 2.

Dalam pada itu, Balkisyh berkata kehidupannya lebih mencabar apabila ditinggalkan sehelai sepinggang ketika mereka sah bercerai.

Malah, pelakon yang popular dengan watak Atul ini berkata, dia juga terpaksa menumpang dan meminta simpati jiran berikutan tiada wang untuk meneruskan kehidupan.

"Selepas bercerai saya ditinggalkan dengan akaun kosong, rumah berhutang, kereta sudah empat bulan tak bayar dan rumah pula dikunci.

"Ketika itu saya dan anak-anak terpaksa menumpang simpati di rumah jiran empat hari kerana bekas suami tak beri masuk ke rumah tersebut. Selepas itu saya terpaksa berjuang mencari duit untuk bayar hutang piutang yang ditinggalkan itu sendiri,” ujarnya.

petikan video yang dimuat naik suaminya tular di media sosial pada bulan lalu.

Selain itu, Balkisyh berkata, dia juga hilang sabar dan mula mendedahkan perkara itu selepas bekas suaminya memuat naik video pergaduhan apabila dia cuba menghalang suaminya mengambil anak mereka pada Julai lalu.

Video yang menjadi tular itu memperlihatkan terdapat kekecohan apabila Balkisyh berlaku kasar dan menendang kaki lelaki itu.

"Kejadian (rakaman video) itu terjadi pada 13 Julai lalu semasa hari jadi saya gara-gara bekas suami tidak puas hati dengan kes mahkamah tentang hak penjagaan anak. Saya menang dan dapat hak penjagaan anak selepas membuktikan saya bekerja dan mampu menjaga anak-anak.

"Tapi yang tidak logiknya dia bawa dokumen mahkamah untuk ambil anak selepas itu membuatkan saya tidak percaya dan menghalang dia mengambil anak," ujarnya yang berkongsi pengalaman ini agar menjadi pengajaran kepada wanita lain.

Balkisyh

Artikel Lain