suria

Ara minta Ismail Izzani bersabar, Haqiem ada di belakangnya

Ara dan Haqiem menyatakan sokongan kepada Ismail Izzani.

KONTROVERSI foto memperlihatkan penyanyi Ismail Izzani dan Zarina Anjoulie seakan-akan berpeluk turut mengundang simpati rakan selebriti.

Antaranya ialah Ara Johari dan Haqiem Rusli yang meluahkan rasa kasihan dan mengharapkan penyanyi remaja tersebut bersabar dan kuat berdepan kontroversi itu.

Menurut Ara, dia terkejut apabila mengetahui mengenainya di laman sosial pada malam Jumaat lalu.

Penyanyi lagu Bunga ini berkata dia ada menghubungi Ismail dan memintanya bersabar menghadapi ujian itu.

"Saya terkejut bila dapat tahu tentang gambar yang viral itu dan memberikannya nasihat serta sokongan melalui panggilan telefon.

"Saya memang rapat dengan Ismail tapi tak pernah campur urusan peribadinya, dengan siapa dia berkawan dan sebagainya.

Ara merupakan teman rapat Ismail Izzani.

"Cuma saya minta dia banyakkan bersabar dan anggap itu sebagai ujian... benda pun dah jadi, tak boleh nak buat apa-apa," katanya kepada mStar Online.

Ara ditemui pada majlis pelancaran restoran Teh Tarik Place cawangan kedua milik Cuisine Inspire Sdn Bhd bertempat di KIP Hotel, Sri Utara Business Park, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Shahir Zawawi, Khai Bahar dan Haziq HotFM. Ia dirasmikan oleh Pengarah Cuisine Inspire iaitu Fahrulrazi Kassim.

Sementara itu, Haqiem pula menulis kata-kata sokongan kepada Ismail menerusi laman Twitter.

Haqiem menulis kata-kata sokongan di Twitter.

"Terus kuat brother, saya ada dibelakang kamu," tulis Haqiem di laman tersebut pada malam Jumaat.

Rata-rata pengikut memuji tindakannya menyatakan sokongan kepada penyanyi lagu Sabar itu.

Menerusi laporan portal ini pada Sabtu, Ismail Izzani memohon maaf kepada keluarga dan pihak pengurusannya serta meluahkan rasa kesal dengan apa yang berlaku.

Foto tersebut menjadi tular selepas ia dikongsi oleh sahabat Zarina iaitu pelakon Fathia Latiff.

Artikel Lain