suria

Sihat pada usia 72 tahun, aktiviti Jeffrydin bermula selepas Subuh

Jeffrydin masih kelihatan cergas dan awet muda walaupun usianya sudah mencecah 72 tahun.

KUALA LUMPUR: Penyanyi Pop Yeh Yeh, Datuk Jeffrydin berkongsi cara penjagaan kesihatannya yang diamalkan setiap hari untuk sentiasa kekal bertenaga dan  sihat.

Jeffrydin, 72, berkata dia akan berjalan dengan mengelilingi taman perumahannya sebanyak 10 pusingan selepas selesai solat Subuh pada setiap hari dan minum susu dan madu sebelum tidur.

“Selepas saya selesai solat Subuh, saya akan bersiap-siap untuk berjalan kaki di kawasan perumahan sebanyak 10 pusingan dan saya lakukan pada setiap hari.

“Selain itu, saya juga amalkan minum air susu dan madu sebelum tidur. Amalan meminum madu tu saya mula lakukan sejak di bangku sekolah.

“Manakala, kalau waktu lewat malam, saya hanya makan roti sahaja. Itu antara amalan yang saya buat setiap hari untuk kekalkn stamina dan sentiasa sihat,” katanya kepada mStar Online.

Jeffrydin ditemui ketika sidang media Konsert Lagenda 60-an di Istana Budaya, di sini pada Selasa.

Barisan artis yang akan menjayakan konsert tersebut.

Dalam pada itu, penyanyi yang terkenal dengan lagu Siti Haida ini akan berkongsi pentas bersama tujuh penyanyi terkenal era 1960 menerusi Konsert Legenda 60an yang akan diadakan pada 26 dan 27 Oktober ini di Istana Budaya.

Kata Jeffrydin, segala persiapan seperti pakaian dan persembahan pada malam konsert tersebut akan diuruskan oleh isteri dan anaknya.

“Isteri dan anak saya akan uruskan segala persiapan untuk malam konsert itu. Isteri akan beritahu anak tentang warna pakaian yang saya perlu pakai pada malam itu.

“Nanti anak saya yang akan cari dan pilih baju yang sesuai untuk saya. Yang pasti, saya akan pakai mengikut tema konsert tersebut.

“Mereka sudah ada perancangan untuk persembahan saya pada malam itu. Saya hanya ikut sahaja rancangan mereka,” ujarnya.

Selain Jeffrydin, barisan penyanyi yang turut membuat persembahan pada konsert itu ialah Datuk A. Rahman Hassan, Datuk L. Ramli, A. Rahman Onn, J. Sham, Maria Bachok, S. Mariam, A. Rozaini dan Abon selaku pengacara.

Penonton akan disaji dengan 42 buah lagu termasuk beberapa lagu popular antarabangsa seperti She Loves You (The Beatles), Dekho Abto (Janwar) dan lagu popular setiap penyanyi.

Tiket berharga RM50, RM100 dan RM150 mula dijual pada 28 September lalu menerusi di Istana Budaya.

Jeffrydin

Artikel Lain