suria

“Seronok… tak boleh nak gambarkan perasaan ini” – Fara Hezel

Fara Hezel mahu jadi pengacara. Foto Instagram @official_farahezel

SETELAH hampir empat tahun bergelar pelajar, penyanyi Fara Hezel kini mampu narik nafas lega apabila akhirnya dia menerima diploma dalam bidang pemasaran.

Fara atau nama sebenarnya Nurfaraazira Yusri, 22, berkata sukar untuk dia menggambarkan perasaan teruja itu setelah melalui perbagai cabaran sepanjang bergelar pelajar dan dalam masa sama menjadi seorang penyanyi.

"Sejujurnya rasa seronok dan tak boleh nak gambarkan perasaan lega apabila saya berjaya menamatkan pengajian ini.

"Empat tahun bergelar pelajar dan ada komitmen sebagai penyanyi membuatkan jadual saya agak padat namun, Alhamdullilah semuanya berjalan dengan begitu lancar.

"Ini semua adalah doa daripada ibu bapa dan keluarga yang sentiasa memberi sokongan dalam apa jua yang saya lakukan," katanya kepada mStar Online.

Fara merancang melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang muzik.

Kakak kepada penyanyi Aiman Tino ini menerima Diploma Pemasaran di Politeknik Sultan Azlan Shah, Perak pada Ahad.

Sementara itu, Fara memberitahu dia berhasrat untuk menyambung pengajian dalam bidang muzik di ASWARA.

"Saya dah mohon untuk melanjutkan pengajian di kolej tersebut dan berharap permohonan saya itu diterima.

"Sebelum ini, pengajian saya lebih fokus dalam bidang perniagaan, sekarang ini mahu mantapkan bakat dalam bidang muzik pula," katanya.

Bercakap mengenai karier seni, penyanyi lagu Ku Pasrah ini berkata dia mahu mencuba bidang pengacaraan.

"Memang dari dahulu saya berminat nak jadi pengacara dan tak salah untuk saya mencuba kerana bidang seni ini luas dan besar.

"Mungkin ada yang belum nampak bakat saya, jadi inilah masa untuk saya tunjukkan bakat terpendam yang dah lama saya impikan," katanya.

Fara Hezel

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain