suria

Pemindahan buah pinggang berjaya, suami Dayangku Intan tak perlu lagi jalani dialisis

Kesihatan Dayangku Intan dan suami, Rosman Yahil semakin pulih sejak menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang pada 29 September lalu. Foto Instagram @dayanku_intan

PETALING JAYA: Suami kepada penyanyi era 1990-an Dayangku Intan iaitu Rosman Yahil tidak perlu lagi menjalani rawatan dialisis selepas pembedahan pemindahan buah pinggang daripada isterinya berjaya.

Dayang berkata, Rosman juga sudah dibenarkan pulang ke rumah pada Isnin selepas keadaannya semakin pulih sejak melakukan pembedahan pada 29 September lalu.

"Alhamdulillah keadaan suami kembali normal seperti dahulu malah sudah boleh buang air kecil seperti biasa dan badannya menerima buah pinggang baru itu dengan baik.

"Pada awalnya saya bimbang juga sebab doktor juga pernah beritahu mungkin pada awalnya masih perlu melakukan dialisis tetapi syukur ia tidak perlu.

ARTIKEL BERKAITAN: Dijangka makan masa lebih 3 jam, Dayangku Intan sudah sedia derma buah pinggang buat suami

Pasangan ini bersama doktor pakar yang melakukan pembedahan mereka.

"Suami juga sudah dibenarkan pulang namun masih perlu menjalani rawatan susulan dari masa ke semasa," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.

Dayang mendermakan buah pinggang kirinya kepada suami tersayang selepas ujian yang dibuat mendapati dia calon sesuai untuk berbuat demikian.

Rosman, 56, yang mengalami masalah pada kedua-dua belah buah pinggangnya sebelum ini menerima rawatan di sebuah hospital swasta selepas dipindahkan dari Hospital Serdang pada 17 Jun lalu.

Ditanya mengenai keadaannya pula, Dayang memberitahu kesihatannya juga semakin pulih sejak pembedahan malah sudah pulang ke rumah sejak 3 Oktober lalu.

"Alhamdulillah keadaan saya juga baik sejak pembedahan malah dah cuba-cuba menyanyi di rumah saja nak 'test' sama ada suara keluar lagi atau pun tidak.

Dayang turut berkongsi gambar bersama staf yang menjaga mereka.

"Nampaknya okay... Hahaha. Cuma sejak pembedahan saya ada rasa kesan sikit seperti mudah penat dan perut terasa kembung.

"Pun begitu keadaan itu normal kata doktor dan hanya bersifat sementara," ujarnya.

Berkongsi lanjut mengenai perkembangannya, Dayang berkata, dia amat berterima kasih kepada semua kaum keluarga, kenalan dan peminat yang tidak putus-putus mendoakan kesihatannya dan suami.

"Inilah keajaiban Allah dan kuasa doa daripada semua... Sungguh saya berterim kasih dan bersyukur atas semua doa-doa daripada anda semua," katanya.

Dayangku Intan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain