suria

Farid Kamil gagal gugur lima pertuduhan jenayah

Farid Kamil gagal gugurkan lima pertuduhan jenayah.

PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara menolak representasi pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil Zahari, 37, untuk menggugurkan lima pertuduhan jenayah yang dihadapinya.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Firdaous Mohamed Idris memaklumkan perkara itu semasa sebutan kes di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham.

Mahkamah kemudiannya mengekalkan tarikh perbicaraan selama lima hari bermula 27 November depan.

ARTIKEL BERKAITAN: Farid Kamil gagal dapatkan pasport dari mahkamah

ARTIKEL BERKAITAN: Farid Kamil terpaksa tangguh bedah lutut

Dalam pada itu, aktor filem J Revolusi ini berkata dia akan menghantar representasi kedua secepat mungkin.

"Kita terima keputusan yang telah ditetapkan dan perbincangan akan dilakukan bersama peguam saya untuk mengemukakan representasi untuk kali kedua," katanya.

Farid akan berbincang dengan peguam untuk representasi kali kedua.

Pada 16 Jan lalu, Farid mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan iaitu dua pertuduhan mendatangkan cedera, menggunakan kekerasan jenayah dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan di Balai Polis Trafik Kota Damansara.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Farid didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Ashraf Ahmad, 35, seorang eksekutif akaun syarikat swasta dan Konstabel Muhammad Nizam Jamaluddin, 24, seorang anggota polis.

Bagi pertuduhan ketiga, Farid dituduh menggunakan kekerasan jenayah terhadap Muhammad Nizam sebagai seorang penjawat awam yang sedang menjalankan tugas sebagai pegawai polis dengan niat menghalang beliau menjalankan tugasnya yang sah di sisi undang-undang.

Bagi pertuduhan keempat, dia didakwa berkelakuan tidak senonoh di dalam balai polis dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan kepada Muhammad Nizam.

Manakala pada 25 Jan lalu, Farid turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menggunakan dadah jenis tetra hydrocannabinol atau THC. - BERNAMA

Farid Kamil

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain