suria

Artis pelbagai genre hiburkan warga kota Sabtu ini

Bagio Damasutra (kiri), David Aramugam dan Santesh antara artis yang akan membuat persembahan pada konsert Suara Anak Malaysia. Foto: LOW BOON TAT.

KUALA LUMPUR: Seramai lapan artis dari pelbagai genre seperti pop, rock dan balada akan berkongsi pentas pada konsert KL Rhythm Nitez: Suara Anak Malaysia yang akan diadakan pada Sabtu ini.

Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Khairul Anuar, berkata konsert tersebut diadakan percuma bagi memberi ruang kepada peminat muzik yang tidak berkemampuan menonton sebuah persembahan berskala besar.

Katanya, konsert anjuran DBKL dengan kerjasama Persatuan Seniman Malaysia itu juga bertujuan untuk mengisi masa lapang warga kota.

"Saya percaya tidak semua orang mampu mengeluarkan bebelanja besar untuk menonton konsert. Tambahan pula sesebuah persembahan melibatkan barisan artis  hebat.

Antara barisan artis dan wakil dari Seniman serta DBKL di sidang media konsert Suara Anak Malaysia.

"Untuk konsert ini, kita mahu berikan sesuatu kepada warga Kuala Lumpur secara percuma supaya mereka mempunyai aktiviti yang hendak dilakukan pada hujung minggu.

"Lagipun konsert secara langsung ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk ditonton, apatah lagi persembahan dengan iringan okestra," katanya kepada mStar Online.

Khairul ditemui ketika sidang media KL Rhythm Nitez: Konsert Suara Anak Malaysia  di Biro Pelancongan, di sini pada Isnin.

Artis yang akan terlibat dalam persembahan itu nanti ialah Bagio Damasutra, Francissa Peter, Datuk David Aramugam, Siti Nordiana, Yabang Khalifah, Syafiq Farhain, Suki Low dan Santesh.

Konsert secara orkestra itu akan diadakan di Panggung Anniversari Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur bermula pukul 8.30 malam.

Ia merupakan siri ketiga program KL Rhythm Nitez yang mana acara serupa pernah diadakan pada Mac dan Ogos lalu.

Konsert Suara Anak Malaysia

Artikel Lain