suria

Doa Afdlin Shauki buat ibunya yang sudah ‘pergi’

Afdlin mendoakan arwah ibunya ditempatkan di kalangan orang-orang beriman. Foto Instagram: @afdlinshauki.

IBU kepada pelawak dan pengacara Datuk Afdlin Shauki iaitu Fadzilah Jelani meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, kira-kira 5.56 petang Isnin.

Perkhabaran sedih itu disampaikan oleh Afdlin sendiri menerusi laman Instagramnya dengan memuat naik foto bersama Allahyarham ibunya berserta kiriman doa.

"Dukacita dimaklumkan bahawa ibu tersayang kami Puan Fadzilah Jelani telah kembali ke rahmatullah pada hari ini Isnin 15/10/2018, pukul 5:56 petang di IJN, KL.

"Allah Ya Tuhanku ampunilah dia, rahmatilah dia, maafkanlah dia, muliakanlah kematiannya, lapangkanlah kuburnya, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggalnya.

Foto kenangan Afdlin dan ibunya.

"Dan berilah kesabaran kepada ahli keluarganya, semoga arwah di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman... Al-fatihah," tulis Afdlin.

Sebelum ini, Fadzilah dikhabarkan beberapa kali menjalani rawatan akibat diserang penyakit jantung dan kali terakhir menjalani pembedahan pintasan jantung pada 9 Oktober lalu.

Pada April lalu, Afdlin pernah berkongsi status dalam akaun media sosialnya bahawa Fadzilah pernah menjalani rawatan di Unit Kardiologi Hospital Serdang.

Dalam pada itu, pengacara program Super Spontan ini juga berkongsi informasi untuk kenalan yang ingin turut serta dalam pengurusan jenazah arwah ibunya.

Afdlin memuat naik informasi mengenai pengurusan jenazah arwah ibunya.

Menurut Afdlin, arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Fasa 2, Batu Caves sebelum solat Zohor pada Selasa.

"Kepada sesiapa yang mengenali mummy dan ingin ketemu buat kali terakhir. Mandi dan pengembumian jenazah akan berlangsung di Masjid Muadz Bin Jabal, Setiawangsa.

"7.30 pagi mandi jenazah, 9 pagi solat jenazah, 10.30 pagi jenazah di bawa ke Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Fasa 2, Batu Caves.

"Jenazah akan dikebumikan sebelum solat Zohor," katanya.

Afdlin Shauki

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain