PENYANYI dan pelawak Mark Adam memberitahu peminat akan terkejut melihat lakonannya dalam filem aksi komedi Hero yang dijangka akan ditayangkan pada tahun hadapan. Ini kerana kata Mark, filem arahan Azizi Chunk Adnan itu bakal memperlihatkan dia banyak melakukan babak aksi mendebarkan yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini. "Mungkin sebelum ini peminat mengenali saya sebagai pelakon komedi tetapi orang akan terkejut nanti apabila melihat penampilan saya dalam filem Hero. "Jujurnya saya sendiri pun terkejut dengan aksi-aksi yang saya lakukan dalam filem ini kerana ia pengalaman pertama saya berlakon dalam filem genre sepert ini," katanya. Barisan pelakon filem Hero. Dalam pada itu, Mark berkata, dia mengambil masa selama seminggu untuk mempelajari gerakan pertarungan daripada pakar disediakan oleh pihak produksi. "Seminggu saya ambil masa belajar teknik bertarung memandangkan ini kali pertama saya beraksi dalam filem ini. "Ketika penggambaran cedera itu biasa tetapi tidaklah teruk dan ia perkara biasa apabila melakukan babak aksi," ujarnya. Sementara itu, Mark berkata, dia teruja berlakon dalam Hero kerana dia diberi kepercayaan untuk memegang watak utama disamping aktor Hisyam Hamid. Mark bersama Hisyam Hamid. Malah kata penyanyi lagu Pencuri itu, menerusi filem itu juga dia dapat memahami selok-belok bidang pekerjaan anggota bomba yang jarang diketengahkan. "Saya jujurnya teruja kerana Hero adalah filem pertama saya pegang watak utama dan saya terima pun bukan sahaja kerana jalan ceritanya yang menarik tetapi saya mahu memberi pengalaman baru dalam karier saya. "Subjek yang diketengahkan juga menarik perhatian saya yang jarang diketengahkan dan saya sendiri dapat banyak belajar tentang anggota bomba," ujarnya. Filem terbitan NS Star Sdn Bhd dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Hisyam Hamid, Syafiq Farhain Bell Ngasri, Elisha Sandha, Tash Yong dan Datuk Jalaluddin Hassan.