PELAWAK dan penyampai radio Rahim (Sepahtu) menjelaskan tindakannya melakukan pembedahan Bariatric Surgery atau pintasan gastrik bukan kerana ingin mengambil jalan mudah mengurangkan berat badannya. Sebaliknya kata Rahim, masalah obesiti, gastrik selain gangguan tidur yang dikenali sebagai obstructive sleep apnea (OSA) dihadapinya sejak dua tahun lalu menjadi penyebab dia melakukan pembedahan itu. "Saya memang mengalami masalah gastrik agak sudah lama selain gangguan tidur sehingga terpaksa menggunakan alat tekanan saluran pernafasan berterusan bagi membolehkan saya tidur. "Kesukaran tidur selain nafas terhenti disebabkan obesiti menyebabkan masalah itu dan memerlukan saya menggunakan alat itu untuk memastikan saya sentiasa mendapat oksigen. Rahim bersama dua isterinya sebelum pembedahan. ARTIKEL BERKAITAN: Rahim Dikejarkan Ke Hospital Selepas Konsert Bersama Sepahtu "Apabila saya bertemu dengan pakar dan berbincang mengenai masalah saya ini, pembedahan pintasan gastrik sangat sesuai bagi menyelesaikan masalah saya sekali gus dapat mengurangkan berat badan berlebihan," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat. Rahim atau Rahim Mat Ali, 48, menjalani pembedahan itu di iHeal Medical Centre, Kuala Lumpur pada Khamis. Bercakap lanjut mengenai pembedahan itu, Rahim berkata, doktor mengecilkan saiz perutnya sebanyak 70 peratus daripada saiz asal. Rahim bersama kenalan dan Dr Mustafa Mohammed Taher (kanan) yang melakukan pembedahan pintasan gastrik. Kata Rahim, dia menyasarkan dapat menurunkan berat badannya sebanyak 15 ke 20 kilogram dalam tempoh dua bulan selepas pembedahan selain tidak perlu lagi bergantung kepada alat tekanan saluran pernafasan untuk tidur. "Hendak kurus bukanlah keutamaan saya tetapi lebih kepada kepentingan untuk menjaga kesihatan memandangkan usia pun semakin meningkat. "Sasaran saya agar masalah seperti gastrik dan sukar tidur dapat pulih selain menjalani kehidupan lebih sihat selepas ini," katanya. Sementara itu, Rahim berkata, sehari selepas pembedahan keadaannya beransur pulih namun perlu mengikut diet yang betul bagi memastikan badannya dapat berfungsi dengan baik. Sebelum ini, antara artis yang pernah membuat pembedahan sama adalah Aishah dan pelawak Vicha.