suria

Zarul Husin jatuh motosikal retak tulang kaki

Zarul alami kecederaan pada kaki kiri.

PENYANYI dan pelakon Zarul Husin mengalami kecederaan retak pada tulang tapak kaki kiri selepas terjatuh dari motosikal ketika penggambaran drama Cekelat Honey pada Rabu lalu.

Zarul berkata, kemalangan kecil yang berlaku tiga hari lalu itu menyebabkan kakinya membengkak dan sukar untuk bergerak.

"Tiga hari lalu ketika sedang melakonkan babak dengan motor yang tidak bergerak dan tiba-tiba motosikal itu terjatuh dan kaki kiri saya terpelecok.

"Saya sangka tiada apa-apa yang serius dan sebelah malam saya masih boleh lagi ke studio untuk rakaman program Gegar Vaganza 5 tapi malam itu kaki sudah mula membengkak.

"Keesokannya saya ke klinik dan membuat pemeriksaan dan imbasan X-ray mendapati tulang pada tapak kaki saya retak,” ujarnya kepada mStar Online.

Zarul bergandingan bersama Siti Nordiana dalam drama Cekelat Honey.

Drama Cekelat Honey yang turut dibintangi oleh Siti Nordiana dan Fikry Ibrahim akan ditayangkan pada November depan.

Sementara itu, Zarul berkata, dia tetap meneruskan penggambaran drama bersiri yang kini berbaki kira-kira 20 hari.

Katanya, dia tidak mahu menjejaskan jadual pelakon lain dan menyusahkan pihak produksi.

"Pengarah membenarkan untuk saya ambil cuti tapi saya tidak mahu menyusahkan produksi dan jadual-jadual artis lain.

"Alhamdulillah pengarah cuba ubah dan sesuaikan babak saya supaya tidak banyak bergerak. Tidak apalah selagi saya boleh tahan saya teruskan kerja,” ujarnya.

Tambahnya, dia juga akan mengadakan persembahan sebagai artis jemputan di pentas Gegar Vaganza 5 pada Ahad ini.

Zarul Husin

Artikel Lain