suria

“Semua benda nak kaitkan LGBT!” - Janna Nick ulas foto cium Eyka Farhana

Foto yang dimuat naik di Instagram Eyka Farhana ini menerima kecaman netizen. Foto @jannanick

GARA-GARA sekeping foto 'mesra', pelakon Janna Nick menerima kecaman netizen kononnya dia mempromosikan budaya songsang iaitu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Menurut Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner, 22, gambar tersebut tidak mempunyai apa-apa maksud dan terpulang pandangan individu yang melihatnya.

"Foto itu tiada apa-apa maksud, ia hanya sekadar momen bergambar dengan seorang rakan, terserah pada perspektif masing-masing yang melihat.

ARTIKEL BERKAITAN: Kongsi foto 'throwback', Janna Nick beri kata-kata semangat untuk diri sendiri

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai tersalah anggap... servis ucapan RM50 Janna Nick adalah untuk tujuan amal

"Mungkin hal LGBT ini sudah semakin meluas diperkatakan, jadi orang ramai mula mengaitkan semua benda dengan isu tersebut.

Janna dikecam kerana foto dimuat naik Eyka Farhana ini.

"Sampaikan perbuatan yang tak ada kena mengena pun turut dikaitkan sama. Mereka yang fikir ke arah itu!," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Janna diminta mengulas mengenai sekeping foto dimuat naik di Instagram milik pelakon Eyka Farhana yang memperlihatkan mereka seakan-akan ingin bercumbu.

Foto tersebut menjadi tular di laman sosial sehingga ada yang menuduh mereka seperti mempromosikan budaya LGBT.

Kedua-dua aktres ini difahamkan mengambil gambar tersebut ketika berada di set penggambaran drama Bukan Cinta Aku.

Janna hanya tunjukkan perasaan kasih sesama orang sekeliling.

Sementara itu, pelakon drama Leftenan Zana ini berkata bukan semua perbuatan yang dilakukan melambangkan budaya LGBT.

Dalam hal ini, Janna meminta netizen berfikiran positif dan menyemai perasaan kasih sayang sesama manusia serta tidak bercakap mengenai hal negatif semata-mata.

"Sebagai selebriti saya sedar banyak mata yang memandang tapi bukan semua benda kita buat ada kaitan dengan hubungan songsang itu.

"Foto itu hanyalah perasaan kasih sesama manusia, mari sebarkan perasaan cinta terhadap orang sekeliling kita dan ambil nilai positif itu," katanya.

Janna Nick, Eyka Farhana

Artikel Lain