suria

Pereka fesyen Hetty Sarlene nafi ‘cedok’ idea Rizman Ruzaini, tak sedar serupa baju Che Ta

Biarpun rekaan yang lebih kurang sama namun yang membezakan baju Hetty dan Che Ta adalah dari segi pemilihan warna.

BUSANA yang digayakan penyanyi Hetty Sarlene pada minggu keenam konsert Gegar Vaganza musim kelima (GV5) mendapat perhatian netizen kerana ia dikatakan pakaian idea 'cedok'.

Gaun rekaan Chintafifi itu dikatakan seakan-akan sama baju pereka fesyen Rizman Ruzaini yang pernah digayakan pelakon Rozita Che Wan pada Julai lalu.

Pemilik Chintafifi yang mahu dikenali sebagai Fifi berkata dia tidak menyedari gaun tersebut sama seperti rekaan pemilik jenama fesyen terkenal itu.

Menurutnya, dia tidak pernah terfikir untuk meniru rekaan mana-mana pereka fesyen memandangkan busananya dipakai pada konsert GV5.

"Sejujurnya saya tidak meniru dan tak pernah terfikir pun nak tiru rekaan daripada mana-mana pereka fesyen sebab ini konsert yang besar.

Antara komen netizen yang menyedari rekaan baju Hetty sama seperti rekaan Rizman Ruzaini.

"Semasa perbincangan untuk rekaan baju itu, saya dan Hetty tidak menggunakan sebarang sumber dan hanya mengeluarkan idea masing-masing.

"Saya sendiri tidak menyedari dan tak sangka rekaan itu sama seperti baju yang pernah dipakai Che Ta," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu.

Sebelum ini, Che Ta pernah menggayakan busana yang mempunyai renda bunga itu pada awal Julai lalu.

Namun baju yang dipakai Hetty mempunyai perbezaan dari segi warna lebih gelap dan kain kembang berbanding baju Che Ta.

Dalam pada itu, biarpun Fifi menjadikan Rizman Ruzaini sebagai idolanya namun itu tidak maksud dia mahu meniru rekaan pereka fesyen itu.

Busana yang digayakan Hetty pada minggu keenam konsert GV5 sama seperti baju Che Ta yang dipakai pada Julai lalu.

Bagi Fifi, fesyen itu juga bersifat terbuka dan idea rekaan atau konsep juga berulang-ulang.

"Bagi saya, fesyen itu 'universal' atau bersifat terbuka. Kalau anda lihat dan perasan, idea rekaan atau konsep itu akan berulang-ulang.

"Saya memang jadikan Rizman Ruzaini sebagai idola dalam bidang ini tapi itu tidak bermaksud yang saya tiru rekaan mereka," ujarnya.

Sementara itu, dia akan memastikan pakaian yang Hetty bakal gayakan pada malam minggu semifinal konsert GV5 tidak akan sama dengan mana-mana rekaan.

Artikel Lain