suria

Normah Damanhuri pernah dibayar rendah, tiada alasan naik harga!

Normah masih boleh bertolak-ansur mengenai bayaran sebagai pelakon.

PELAKON Normah Damanhuri mendedahkan dia pernah ditawarkan berlakon dalam sebuah drama dengan bayaran yang dianggap tidak berbaloi.

Bagaimanapun, Normah, 64, memberitahu dia terpaksa menolak tawaran tersebut kerana difikirkan tidak setimpal dengan kerja yang perlu dilakukan.

"Saya akui pernah menerima tawaran berlakon dengan harga yang rendah, sebagai contoh, satu drama yang mempunyai banyak episod, lokasi penggambaran banyak tapi hanya dibayar seperti harga sebuah telefilem.

"Untuk tawaran tersebut saya terpaksa tolak, walaupun sedih tapi saya menolak dengan baik. Memang kita kerja sebagai pelakon nak cari duit sebab ini sahaja punca rezeki, tapi kalau harga terlalu rendah begitu rasa tak berbaloi.

Normah menerima anugerah pelakon pembantu terbaik filem di ASK 2018.

"Tapi bukan semua produksi begitu, banyak yang baik dan boleh bertolak-ansur, buat masa ini saya tiada masalah mengenai hal itu," katanya kepada mStar Online.

Sementara itu, pemenang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem, Anugerah Skrin 2018 (ASK 2018) menerusi filem Pinjamkan Hatiku ini berkata penghargaan yang diterima itu bukanlah alasan untuk dia memilih karya dan menentukan harga bayaran.

Sebaliknya, Normah berpendapat pihak produksi sendiri seharusnya bijak menilai harga yang sepatutnya dibayar terutamanya kepada pelakon senior.

"Ada orang kata bila menang anugerah tawaran berlakon lagi banyak dan produksi akan bayar mahal, sebenarnya hal ini tiada kaitan pun. Bukan sebab anugerah kita jadi mahal.

Normah semasa di set penggambaran sebuah drama.

"Soal bayaran, kita boleh bertolak ansur dan bayaran ini tak tentu. Kalau rasa sesuai dengan kerja, kita pasti terima.

"Kalau mereka (produksi) tahu menilai, melihat kepada disiplin dan persediaan kita kepada produk mereka, mereka sendiri yang kena tahu berapa nak bayar. Apa-apa pun itu berbalik semula kepada rezeki," katanya.

Sebelum ini, pelakon terkenal Jalil Hamid meluahkan rasa terkilan apabila ditawarkan bayaran sebanyak RM1,500 bagi membintangi sebuah drama.

Lebih menyedihkan katanya, tawaran bayaran itu adalah untuk watak utama, sekali gus menyifatkan ia satu penghinaan terhadap dirinya sebagai seorang pelakon veteran.

Normah Damanhuri

Artikel Lain