suria

“Izzue yang tak nak berbincang… Adakah dia mahu kami melutut?” - Forteen

Anggota Forteen yang lain berkata, Izzue keluar tanpa sebarang perbincangan. Foto: KEMALIA OTHMAN

SHAH ALAM: Keputusan Izzue Islam untuk keluar daripada kumpulan Forteen beberapa hari lalu dilakukan tanpa sebarang perbincangan dengan ahli kumpulan lain.

Anggota kumpulan tersebut, Wan atau nama sebenar Mohammad Ridzuan Sharifuddin berkata, sikap ego penyanyi berkenaan tidak mahu berjumpa dan memberi ruang kepada mereka menjelaskan perkara yang berlaku.

"Dia tak bagi ruang kepada kami untuk bercakap. Selepas sedar dia kurang senang, saya ada berjumpa Izzue untuk minta maaf dan cuba berbincang.

"Saya cakap dengan nada yang lembut dia tidak mahu dengar. Adakah dia mahu saya datang melutut dan sujud baru dia boleh terima penjelasan kami? Cukuplah, saya dah penat, air mata saya dah habis menangis," ujarnya kepada mStar Online.

Dari kiri, Amer, Ariz dan Wan adakan sidang media berhubung isu ini.

Forteen kini dianggotai oleh Wan, Ariz Lufias dan Ameerais ditemui pada satu sidang media khas penjelasan berhubungan isu anggotanya Izzue Islam menarik diri secara mengejut.

Izzue sebelum ini mendakwa kecewa dipulaukan oleh ahli yang lain ketika dalam sebuah majlis khas Gegar Vaganza sempena final yang berlangsung 15 November lalu.

Dalam pada itu, Ariz menjelaskan situasi yang berlaku pada majlis berkenaan kononnya mereka menukar lagu lain tanpa pengatahuan Izzue adalah tidak benar.

Forteen kini tanpa Izzue Islam.

"Dia terkejut bila lagu yang dibawa tidak seperti yang dibincangkan. Dia terkejut dan mempersoalkan hal itu depan orang produksi yang saya rasa ia tidak sesuai.

"Lepas itu dia terus pergi dan tidak mahu mendengar penjelasan. Walhal kami nyanyi lagu lain ketika itu hanya untuk saja-saja seperti penyanyi lain kerana itu sesi latihan. Kami tetap nyanyi lagu yang dibincangkan itu," ujarnya.

Dalam pada itu, Ameerais berkata, dipulaukan bukan istilah seperti didakwa Izzue sebaliknya mereka memberi masa kepada penyanyi lagu Bimbang itu untuk reda dari kemarahan.

"Kami tak pulaukan dia dan pulau bukan istilah yang betul kerana sejak tujuh tahun lalu konsep kami memang akan beri tempoh masa bertenang dahulu. Tapi tidak sangka dia terus ambil tindakan terburu-buru untuk keluar," ujarnya.

Menerusi mStar Online, Izzue berkata persefahaman antara dia dan anggota Forteen lain sudah tiada dan adalah wajar dia meniggalkan kumpulan tersebut.

Forteen, Izzue Islam

Artikel Lain