PENYANYI Liza Hanim yang kini hamil anak kelima memberitahu dia tiba-tiba berasa panik selepas menyedari kandungannya sudah memasuki trimester terakhir. Liza berkata, perasaan itu timbul apabila memikirkan masih belum menyelesaikan persiapan menyambut kelahiran termasuk persediaan fizikal dan mental. "Selamat datang trimester ketiga. Tidak lama lagi baby... Mama tiba-tiba panik semalam, perlu selesaikan persiapan, material, fizikal dan terutamanya mental," katanya. Sebelum ini, penyanyi lagu Siapa Sangka Siapa Menduga ini mengumumkan kehamilannya itu selepas menjayakan Konsert Semalam Di Malaya yang diadakan di Dewan Filharmonik Petronas, Kuala Lumpur September lalu. Liza dijangka melahirkan cahaya mata pada awal tahun hadapan. Kandungan Liza kini memasuki minggu ke-29. Dalam pada itu, Liza berkata, pengalaman kehamilan kali ini turut membuatkan dia teringat saat melalui proses bersalin anak keempatnya, Mohamed Ibrahim yang kini berusia tiga tahun. Kata Liza, ketika itu dia bertarung selama 25 jam sebelum dapat memangku anak lelaki kesayangannya itu. "Tiba-tiba teringat pengalaman melahirkan #princeibrahim tiga tahun lepas, 25 jam dalam bilik bersalin," ujarnya. Liza mendirikan rumahtangga bersama bekas anggota kumpulan Indigo, Mohamed Shahrin Samsudin pada tahun 2003. Mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Marsya Qistina, 15, Marissa Qaireen, 9, Mohamed Salahuddin, 7, dan Mohamed Ibrahim, 3 tahun.