suria

Suria FM kekal lima stesen radio berbahasa Melayu pilihan pendengar

Pengerusi Kumpulan Radio Star Media, Datuk Dr Mohd Aminuddin Mohd Rouse dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Star Media, Roy Tan memotong kek bersempena sambutan ke-11 Suria FM. Foto AZMAN GHANI

PETALING JAYA: Suria FM mengekalkan kedudukan sebagai lima stesen radio berbahasa Melayu pilihan pendengar menerusi kaji selidik yang diadakan baru-baru ini.

Pengurus Kanan Suria FM, Roslinda Abd Majid atau DJ Lin berkata, kedudukan itu bertambah manis apabila Suria FM satu-satunya stesen radio yang menunjukkan peningkatan 88,000 pendengar.

"Kaji selidik radio baru-baru ini menunjukkan Suria mengekalkan kedudukan antara lima radio berbahasa Melayu teratas.

"Paling menggembirakan dalam lima itu, Suria satu-satunya stesen yang menunjukkan peningkatan 88,000 pendengar berbanding tahun lalu.

"Ini satu peningkatan yang cukup baik buat Suria dalam mengukuhkan jenama stesen ini selepas 11 tahun bersiaran menghiburkan pendengar," katanya.

Antara rakan selebriti yang hadir memeriahkan acara.

DJ Lin ditemui pada majlis sambutan ulangtahun Suria FM yang masuk tahun ke-11 yang diadakan pada petang Jumaat.

Pada majlis itu, turut hadir adalah Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Star Media, Roy Tan dan Pengerusi Kumpulan Radio Star Media, Datuk Dr Mohd Aminuddin Mohd Rouse.

Selain barisan penyampai radio, selebriti tanah air juga turut memeriahkan sambutan itu seperti Forteen, Izzue Islam, Sissy Iman, Andi Bernadee dan Nassier Wahab.

Dalam pada itu, DJ Lin berkata, pencapaian itu adalah hasil usaha Suria FM melakukan pelbagai aktiviti dan turun padang bagi bertemu pendengar.

Selain itu, katanya, kerja keras semua kaki tangan di Kumpulan Radio Star Media juga banyak memberi kesan kepada peningkatan Suria FM.

Sepanjang 2018 kami di Suria FM bertungkus lumus buat pelbagai acara, tinggalkan keluarga demi memastikan stesen ini terus berkembang.

Suria FM menyambut ulangtahun ke-11 pada Jumaat.

"Alhamdulillah semua penat lelah itu akhirnya terbayar dan saya harus berterima kasih kepada semua kaki tangan yang bertungkus lumus dalam memastikan Suria FM untuk meningkat," katanya.

Pun begitu kata DJ Lin, pencapaian itu bukan bererti mereka boleh menarik nafas lega sebaliknya pelbagai perancangan telah di susun untuk 2019 dalam memastikan Suria FM terus kekal menjadi pilihan pendengar.

Suria FM ditubuhkan pada 2006 di bawah label Rimakmur Sdn Bhd iaitu anak syarikat Star Media Group Berhad.

Menerusi acara itu, tetamu yang hadir diraikan dengan pelbagai juadah menarik dalam acara penuh santai dan meriah.

Sebagai simbolik sambutan ulang tahun ke-11, majlis diteruskan dengan acara memotong kek yang disertai para penyampai dan artis undangan.

Suria FM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain