KUALA LUMPUR: Pelakon Hairul Azreen tidak kisah sekiranya tiada bonus yang akan diberikan selepas filem lakonannya, Paskal berjaya mencatat kutipan sebanyak RM30 juta. Menurut Hairul atau nama sebenarnya Hairul Azreen Idris, 30, dia sudah berasa gembira dan bersyukur apabila dapat melakonkan watak utama dalam filem tersebut. "Saya tak tahu fasal bonus. Tapi bagi saya, bonus ini merupakan hadiah dan kalau ada, itu namanya rezeki untuk kami. "Tapi saya tak kisah sekiranya tiada bonus yang diberikan. Untuk saya, dapat watak utama dalam filem itu pun dah cukup gembira buat saya," katanya kepada mStar Online. ARTIKEL BERKAITAN: Keuntungan Paskal TLDM terima RM100,000 Barisan pelakon filem Paskal. Pengarah filem itu, Adrian Teh menjelaskan produksi Asia Tropical Films belum memutuskan sama ada ingin memberi bonus atau tidak kepada barisan pelakon. Kata Adrian, pihaknya perlu berbincang terlebih dahulu dengan pihak pelabur mengenai perkara tersebut. Selain Hairul, filem itu turut dibintangi Ammar Alfian, Henley Hii, Taufiq Hanafi, Gambit Saifullah, Hafizul Kamal, Theebaan G, Amerul Afendi dan Jasmine Suraya Chin. Dalam perkembangan lain, Hairul memberitahu kandungan isterinya, Hanis Zalikha sudah memasuki empat bulan dan dijangka bersalin pada Mei atau Jun tahun hadapan. Hanis dijangka bersalin pada Mei atau Jun tahun hadapan. Tambah Hairul, dia pertama kali mengalami alahan pada awal kehamilan isterinya selama sebulan dan mula timbul minat untuk membuat kek. "Alhamdulillah kandungan Hanis sudah memasuki empat bulan dan bayi sihat. Dia masih lagi mengalami alahan yang sama ketika mengandungkan Yusuf. "Tapi masa mula-mula Hanis mengandung, saya turut mengalami alahan. Saya rasa badan cepat penat. Masa Yusuf dulu, tak pernah pula kena macam ini. "Baru-baru ini, saya tiba-tiba jadi minat tengok program buat kek dan terasa nak buat pula," ujarnya.