suria

“Mak belum tahu tangan dah tiada... Tak sampai hati nak beritahu” - Linda Rafar

Linda Rafar memberitahu dia dan keluarga masih belum memaklumkan mengenai tangan kirinya ibunya yang dipotong pada Rabu. Foto Instagram @lindarafar & @dianarafar

PELAKON dan penyanyi Linda Rafar masih merahsiakan daripada pengetahuan ibunya, Rasimah Abd Rahman mengenai tangan kirinya yang terpaksa dipotong akibat jangkitan kuman yang telah merebak ke dalam darah.

Linda berkata, sebagai anak, dia tidak sampai hati untuk memaklumkan keadaan ibunya yang berusia 73 tahun itu selepas menjalani pembedahan pada pagi Rabu di Hospital Shah Alam, Selangor.

"Linda rasa sebak sangat-sangat pasal tangan mak yang kena gigitan serangga tiga bulan lepas dipotong sampai bawah siku.

"Mak belum tahu yang tangan dia dah tiada... Tak sampai hati nak beritahu dia," katanya di Instagram.

Diana turut berkongsi mengenai perkara itu di Instastory. 

Dalam pada itu, Linda berkata, sebagai anak dia tidak kuat mengharungi dugaan tersebut namun percaya dugaan daripada Allah itu mempunyai hikmah tersendiri.

Anggota kumpulan Elite itu juga memohon agar pengikutnya di media sosial mendoakan ibunya kuat menghadapi dugaan tersebut dan kembali sihat seperti sediakala.

"Cuma apa yang Linda nak minta jasa baik semua tolong doakan mak Linda terus kuat dan sihat kembali macam dulu.

"Linda tak kuat harungi semua dugaan ini tapi Linda percaya setiap dugaan yang Allah beri pasti ada ganjarannya. Linda sayang mak Linda sangat-sangat. Love you mak," tulisnya.

Sebelum ini, Rahimah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sama akibat gigitan serangga dan menjalani pembedahan bagi membuang kuman.

Perkongsian sayu Linda di Instagram mengenai ibunya.

Bagaimanapun minggu lalu, Rahimah mengadu sakit pada bahagian tangan tersebut sebelum doktor memberitahu jangkitan kuman sudah merebak ke dalam darah.

Sementara itu, adik Linda, Diana Rafar menerusi Instagramnya pula memberitahu walaupun hanya tangan ibunya yang dipotong, namun ia perlu melalui proses seperti mana menguruskan seorang jenazah.

"Walaupun tangan tapi perasaan ini macam kehilangan orang tersayang, kuatkan kami ya Allah.

"Tangan yang dipotong kena lalu proses mandi, kafan, kebumi juga rupanya... Ya Allah gementar SubhanAllah, sedihnya," katanya.

Linda Rafar, Diana Rafar

Artikel Lain