PENYANYI Najwa Latiff sebak apabila salah satu impian hidupnya untuk membawa ibu bercuti ke Venice akhirnya menjadi kenyataan.
Penyanyi lagu Cinta Muka Buku itu berkata, dia menunaikan hasrat ibunya sejak lima tahun lalu untuk naik gondola di lokasi percutian terkenal itu.
“Beberapa tahun lalu, mama pernah cakap dia teringin nak pergi Venice dan naik gondola lepastu nyanyi.
“Kalau anda nak tahu saya sekarang saya sebarang perancangan hidup buat masa ini, saya hanya ikut keadaan. Bagaimanapun, saya ada dia impian dalam hidup.
“Salah satunya nak bawa mama ke Venice dan tengok dia nyanyi atas gondola,” ujarnya.
Perkongsian video berdurasi satu minit itu menyentuh hati netizen yang menganggap penyanyi berkenaan sebagai anak yang menjadi kebanggaan ibu bapa.
Najwa mengalirkan air mata apabila ibunya mendendangkan lagu Tunggu Sekejap ketika berada di gondola berkenaan.
Dalam pada itu, Najwa berkata, sebagai anak, dia berasa gembira dapat melakukan perkara tersebut dan membahagiakan ibunya.
“Kita tahu orang tua kita semakin berusia, jadi luangkanlah masa bersama mereka sebanyak mana yang boleh walaupun cuma mampu dekat rumah atau video call.
“Buat sebanyak mana yang kamu boleh lakukan untuk mereka kerana mereka layak untuk dapatkan yang terbaik dari kamu.
“Restu mereka membuatkan hidup kamu dipermudahkan walaupun kamu berada dalam keadaan yang susah dimana kamu sendiri tidak mampu untuk mengawalnya,” ujarnya.