JUARA Mentor 7 Zaaim atau nama sebenarnya Zaaim Abdullah menganggap kehadiran ibunya pada malam final program itu sebagai pembakar semangat untuk dia memberikan persembahan terbaik. Anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini berkata, dia hilang keyakinan untuk beraksi dalam pertandingan itu sejak dua minggu lalu. "Alhamdulillah, saya tidak jangka kerana sudah dua minggu hilang keyakinan diri, tapi bila tengok wajah ibu saya di depan pentas membuat saya rasa yakin dan bersemangat. "Saya cakap dengan diri saya juga ini sahaja peluang dan saya tidak boleh rasa rendah diri dan tidak yakin seperti sebelum ini," ujarnya kepada mStar Online. Dia ditemui pada sidang media selepas konsert akhir Mentor 7 yang diadakan di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, malam Ahad. ARTIKEL BERKAITAN: Protege Siti Nordiana, Zaaim juara Mentor 7, bawa pulang RM80,000 Zaaim diumum juara Mentor 7. FOTO AZHAR ARIFF Zaaim menewaskan tiga orang pesaingnnya yang tidak kurang hebat iaitu Pasya yang juga protoge Aizat, Amirul (Hafiz) dan Ranisha (Datuk Syafinaz). Kemenangan itu melayakkan Zaaim menerima hadiah wang tunai berjumlah RM80,000 dan sebuah kereta tajaan Aerocar. Dalam pada itu, mengulas tentang perancangannya selepas ini, Zaaim yang kini bernaung di bawah label Monkey Bone berharap kehadirannya dalam industri seni diterima baik oleh masyarakat. Dia juga berharap dapat membawa lagu-lagu genre rock balada yang sememangnya menjadi genre kegemarannya ketika di pentas pertandingan itu. "Saya harap dapat lagu rock balada selepas ini tapi terpulang kepada pihak TV3 dan mereka mungkin ada startegi tersendiri. "Saya sedar sebagai artis baharu perlu berusaha keras untuk dikenali dan ia juga bergantung kepada rezeki. Saya harap laluan dalam bidang ini dipermudahkan," ujarnya. Zaaim akui hilang keyakinan sejak dua minggu lalu. Sementara itu, mentornya penyanyi Siti Nordiana berharap Zaaim sentiasa menjaga sikap dan merendah diri selepas melangkah ke dunia nyanyian sebenar. Penyanyi itu turut memberi nasihat agar Zaaim perlu lebih banyak belajar untuk berkomunikasi dengan lebih baik. "Apa yang boleh saya nasihatkan agar dia sentiasa menjaga sikap yang baik, perlu bersedia untuk bekerja dengan pelbagai pihak. "Belajar komunikasi dengan lebih baik dan sentiasa merendah diri, biar orang mudah untuk bekerja dengan kita," ujarnya. Tambahnya, dia akan sentiasa membantu dan memberi nasihat kepada anak didiknya itu jika diperlukan.