suria

Tidak mahu namanya terus dilupakan, isteri bina galeri pamer barang berharga Zaibo

Balu kepada Zaibo, Siti Hawa Sawal sedang dalam proses membina sebuah galeri mini bagi menghimpunkan barangan peribadi pelakon itu.

BAGI memastikan nama suami tidak terus dilupakan, balu kepada Zaibo iaitu Siti Hawa Sawal dan anak-anaknya sedang membangunkan sebuah galeri mini bagi menempatkan semua barangan berharga pelakon dan pelawak itu untuk tatapan ramai.

Siti Hawa berkata, idea untuk mewujudkan galeri itu timbul selepas anak-anaknya tidak membenarkan dia menderma barangan milik Allahyarham kepada orang lain kerana itu adalah kenangan buat mereka sekeluarga.

"Barang peninggalan arwah sangat banyak, hendak diberi kepada orang anak-anak saya tidak benarkan kerana itu sahaja kenangan yang mereka ada.

"Dari situ timbul idea untuk membina sebuah galeri mini di sebelah rumah, menghimpunkan semua barang-barang berharganya untuk tatapan generasi akan datang.

"Zaibo mungkin sudah tiada tetapi saya tidak mahu kariernya turut sama mati. Sebagai isteri, inilah usaha terakhir saya dan anak-anak untuk menghargainya," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis.

Hawa memberitahu tidak pernah berhenti merindui suaminya.

Pada 14 November 2018, industri hiburan negara dikejutkan dengan berita pemergiaan Zaibo atau Zainal Ariffin Abd. Hamid, 62, selepas enam bulan dia disahkan menderita kanser esofagos tahap empat.

Dalam pada itu, Hawa berkata, galeri mini dibina di sebelah rumahnya di Rengit, Batu Pahat, Johor itu turut disertakan dengan dua bilik khas buat rakan-rakan dan peminat yang ingin menginap di situ apabila berkunjung ke galeri berkenaan nanti.

ARTIKEL BERKAITAN: Zaibo meninggal dunia

ARTIKEL BERKAITAN: Dialah yang tulis kisah cinta kita... Dua hajat Zaibo tidak kesampaian

Kata Hawa, dia menggunakan wang simpanannya sebanyak RM30,000 untuk membina galeri itu namun bersyukur anak dan menantunya banyak membantu dari segi kerja pembinaan sekali gus menjimatkan kos.

"Arwah selalu pesan kalau dia sudah tiada jangan putuskan silaturahim dengan rakan-rakannya dan dari situ juga timbul idea untuk bina dua bilik yang lengkap dengan ruang tamu, bilik tidur dan tandas sekiranya ada sahabatnya yang menziarah nanti.

"Kalau ada peminatnya yang ingin melawat galeri itu dan ingin tidur pun tiada masalah.

"Alhamdulillah setakat ini projek membina galeri itu sudah berjalan dan Insya-Allah dalam masa tiga bulan lagi siap," jelasnya.

Zaibo meninggal dunia selepas enam bulan mengetahui dirinya menghidap kanser esofagos tahap empat.

Sementara itu, Hawa memberitahu antara barangan berharga yang akan jadi pameran dalam galeri itu nanti adalah buku resepi tulisan tangan Zaibo.

Dedahnya, Zaibo memang banyak menulis resepinya sendiri malah Allahyarham sentiasa menjadi tempat rujukan rakan-rakan yang mahukan resepi terbaharu.

"Ada juga saya terfikir untuk mencari penerbit buku bagi menerbitkan buku masakan arwah kerana memang banyak resepinya sendiri.

"Bukanlah saya ingin mengaut keuntungan tetapi saya terfikir kenapa tidak saya kongsi ilmunya dengan orang lain namun setakat ini ia sekadar idea.

"Selain buku resepi galeri ini nanti akan menghimpunkan pakaiannya, barangan peribadi termasuk sijil dan trofi kemenangan sepanjang 40 tahun menceburi bidang lakonan," tambahnya.

Zaibo, Siti Hawa

Artikel Lain