suria

Gelang emas untuk ibu sempena Siti Nurhaliza 40 tahun

Siti Nurhaliza meraikan sabutan hari lahirnya yang ke 40 tahun pada Jumaat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Foto: MUHAMAD SHAHRIL ROSLI.

MENGINJAK usia 40 tahun memberi makna mendalam buat penghibur kesayangan negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin yang diterjemahkan dalam bentuk  gelang emas dihadiahkan untuk bonda tercinta, Siti Salmah Bachik.

Isteri kepada Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa ini berkata, hadiah tersebut sebagai tanda terima kasih terhadap pengorbanan ibu yang melahirkannya pada 11 Januari 1979. 

"Mak saya seorang yang sangat sederhana, saya bagi apa jenis beg sekali pun dia tetap gemar beg yang dia suka. Dia seorang wanita yang seadanya.

"Saya tidak berkesempatan untuk memberi hadiah pada hari jadinya yang lalu kerana saya berada di Dubai. Selain itu, suami juga sudah terapkan amalan ini apabila menghadiahkan cincin kepada saya sebagai tanda pemberian daripada Aafiyah kerana melahirkannya. 

"Saya mahu buat perkara yang sama iaitu menghargai ibu saya setiap kali ulang tahun kelahiran saya," ujarnya kepada mStar Online

Siti menghadiahkan gelang emas kepada ibunya Siti Salmah Bachik (dua dari kiri - foto kiri).

Siti ditemui pada majlis sambutan ulang tahunnya ke 40 yang diadakan Dewan Tun Hussein Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada malam Jumaat. 

Siti berkahwin dengan Khalid pada 21 Ogos 2006 dan hasil perkongsian hidup itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan Siti Aafiyah yang kini berusia sembilan bulan. 

Dalam pada itu, ditanya tentang hadiah yang diterima daripada suaminya, Siti berkata, masa dan ruang yang diluangkan dengan bercuti adalah yang paling berharga.

“Baru-baru ini suami membawa saya bercuti dan habiskan masa bersama. Pada saya masa dan ruang serta kasih sayang yang dia berikan adalah hadiah paling bermakna daripada harta benda yang dia berikan kepada saya. 

Peminat-peminat Sitizoner yang hadir majlis ulang tahun Siti Nurhaliza.

“Selain itu majlis malam ini juga diuruskan sepenuhnya oleh dia dan saya tidak ambil tahu apa pun. Tetamu semua dia yang uruskan.

“Suami saya adalah seorang yang ambil berat dari setiap sudut dan majlis ini adalah salah satu yang dia dah buat untuk saya,” ujarnya. 

Dalam pada itu Siti pada ucapannya turut meluahkan kata-kata romantis terhadap suami yang sentiasa membahagiakan dirinya. 

Penyanyi lagu Anta Permana ini berterima kasih atas usaha Datuk K yang memberi peluang kepada dia untuk meraikan hari istimewa ini bersama rakan-rakan dan ahli keluarganya. 

“Terima kasih kerana bahagiakan saya. Terima kasih memberi peluang kepada saya berkumpul dengan kawan-kawan artis dan sahabat.

“Saya bersyukur dengan apa yang dimiliki sekarang. Lebih daripada cukup. Allah juga kurniakan impian saya untuk memiliki anak, Alhamdulillah,” ujarnya. 

Pasangan bahagia iaitu Datuk K, Siti Nurhaliza dan permata hati mereka Siti Aafiyah.

Majlis yang bermula pukul 9 malam itu dihadiri oleh ahli keluarga kedua-dua belah pihak, pihak media dan rakan-rakan terdekat pasangan itu. 

Siti tampil dengan busana berwarna kuning keemasan sedondon dengan anaknya Siti Aafiyah dalam rekaan Rizman Ruzaini. 

Kira-kira 400 tetamu itu hadir termasuk rakan-rakan artis seperti Fasha Sandha, Nelydia Senrose, Farah Nabilah, Fara Fauzana, Fouziah Ghous dan Hisyam Hamid. 

Selain itu, tetamu dihiburkan dengan persembahan Faizal Tahir, Khai Bahar, Lan Solo, Hael Husaini dan Jaclyn Victor.

Siti Nurhaliza

Artikel Lain