suria

Penyanyi Jepun popular kerana ‘Assalammualaikum’ kejar impian di Malaysia

Demi mengejar impian menjadi penyanyi, Takaaki mempertaruhkan masa depannya datang ke Malaysia. Foto: NUR ATHIRAH FARHANA.

JEJAKA berasal dari Jepun, Takaaki Terry yang  menjadi tular di laman sosial selepas video dia menyanyikan lagu Assalammulaikum nyanyian Faizal Tahir kini  mempunyai single pertama berjudul Konnichiwa Dunia.

Takaaki, 24, berkata dia sanggup berhenti kerja sebagai pegawai pemasaran di Osaka hanya untuk mengejar impiannya menjadi penyanyi di negara ini.

"Saya mempertaruhkan masa depan datang ke Malaysia untuk menjadi seorang penyanyi di sini dan sanggup berhenti kerja sebagai pegawai pemasaran di Osaka.

"Sejak dari dahulu lagi saya memang nak jadi penyanyi dan saya memilih Malaysia sebab jatuh cinta dengan lagu-lagu seperti Permata Hati  (Nabila Razali) dan Dari Mata (Jaz Hayat).


Takaaki jatuh cinta dengan lagu-lagu berbahasa Melayu.

"Selain itu juga, saya sangat meminati lagu-lagu Faizal Tahir. Malah, saya boleh mendengar lagu-lagunya berulang kali," katanya kepada mStar Online.

Takaaki ditemui ketika sidang media pelancaran lagu dan video muzik pertamanya berjudul Konnichiwa Dunia di Warner Music Malaysia, Petaling Jaya pada Khamis.

Dalam pada itu, Takaaki belajar untuk bercakap dalam bahasa Melayu dengan mendengar lagu dan menonton drama bersiri Nur dan animasi Upin dan Ipin.

Malah, Takaaki juga ada membeli buku kanak-kanak untuk memudahkannya memperlajari dan memahami perkataan bahasa Melayu.

Takaaki artis Jepun pertama dilamar Faizal Tahir.

"Memang ada ada segelintir orang Jepun sukar belajar bahasa Melayu tapi saya pula mudah dan cepat belajar menyebut serta memahami perkataan itu.

"Saya belajar dengan mendengar lagu, tonton drama Nur dan paling saya suka cerita animasi Upin dan Ipin.

"Selain daripada itu juga, saya ada membeli buku kanak-kanak yang mudah untuk saya belajar dan faham setiap perkataan," ujarnya.

Takaaki yang menjadi artis Jepun pertama dilamar Faizal Tahir ini kini bernaung bawah pengurusan Faithful Music.

Bagaimanapun, Takaaki akan berulang alik dari Jepun ke Malaysia dan dia masih belum ada perancangan untuk menetap di negara ini.

Takaaki Terry, Faizal Tahir

Artikel Lain