suria

Dayangku Intan dedah perubahan sikap suami selepas terima buah pinggangnya

Dayangku memberitahu suaminya kini sudah pulih sepenuhnya. Foto: NUR ATHIRAH FARHANA.

PENYANYI era 90-an, Dayangku Intan mendedahkan perubahan sikap suaminya, Rosman Yahil apabila pulih selepas menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang pada 28 September tahun lalu.

Dayang berkata, kadang-kala pada waktu pagi Rosman akan mengemas rumah dan suaminya itu juga mudah tersentuh hati apabila menonton drama.

"Semenjak dia ambil buang pinggang saya, dia jadi terlebih rajin. Kadang-kadang bangun pagi, dia tengah sapu kawasan rumah.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemindahan buah pinggang berjaya, suami Dayangku Intan tak perlu lagi jalani dialisis


Dayang dan suaminya sudah sihat sepenuhnya.

"Saya saja tegur dan gelakkan dia. Selain itu, kalau dia tengok cerita-cerita sedih, tiba-tiba keluar air mata.

"Itu antara perubahan yang berlaku. Hati dia mudah tersentuh. Saya pula bila nampak dia macam tu, rakam video dan tunjuk pada anak-anak," katanya kepada mStar Online.

Dayang yang ditemani suaminya ditemui ketika sidang media Konsert Retro di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dia telah mendermakan buah pinggang kirinya kepada suaminya selepas ujian yang mendapati dia calon sesuai untuk berbuat demikian.

Sebelum ini, Rosman, 57, yang mengalami masalah pada kedua-dua belah buah pinggangnya sebelum ini menerima rawatan di sebuah hospital swasta.

Barisan penyanyi yang akan membuat persembahan pada Konsert Retro.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Semakin Rindu Semakin Sayang ini buat pertama kali akan beraksi di pentas berprestij Istana Budaya pada 1 dan 2 Februari depan.

"Memang rasa teruja apabila pihak Istana Budaya memilih saya sebagai salah seorang penyanyi yang akan membuat persembahan pada Konsert Retro.

"Buat pertama kali saya akan membuat persembahan di pentas berprestij itu. Sebelum ini, saya hanya menyanyi untuk acara yang diadakan di luar Istana Budaya," ujarnya.

Selain Dayangku Intan, konsert tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan daripada Uji Rashid, Hail Amir, Jay Jay, Lan Solo dan Asmidar.

Tiket berharga RM30, RM50, RM70, RM90 dan RM 100 boleh didapati menerusi laman sesawang www.ilassotickets.com.

Dayangku Intan

Artikel Lain