suria

Perkongsian #10yearchallenge Mizz Nina, 10 tahun lalu tak tahu baca Alif Ba Ta

Mizz Nina akui hati terkesan selepas abang meninggal dunia.

ISTERI kepada penyanyi Noh Salleh iaitu Mizz Nina memberitahu kehidupannya melalui satu perubahan besar jika dibandingkan dengan sepuluh tahun lalu.

Mizz Nina atau nama sebenarnya Syazrina Azman, 38, berkata, pada usia 29 tahun lalu dia merupakan seorang penyanyi yang hanya memberi fokus terhadap kerjaya nyanyian semata-mata.

Malah, dia juga pernah putus asa untuk mencari teman hidup.

"Pada 2009 saya beruumur 29 tahun, masih single dan fokus terhadap kerjaya solo. Saya putus asa untuk mencari pasangan hidup kerana semua tenaga saya letakkan terhadap persembahan latihan.

"Alhamdulillah, doa saya menjadi kenyataan apabila saya bertemu suami dan berkahwin pada penghujung 2009," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kalau dulu menyanyi, kini mengaji... Mizz Nina lebih tenang tanpa fikir kerjaya seni

Mizz Nina berkongsi tentang kehidupannya 10 tahun lalu.

Bagaimanapun, Mizz Nina berkata, dia mula menyedari perubahan dalam dirinya selepas abangnya meninggal dunia dua tahun sebelum itu.

Tambahnya, perkara itu telah memberi kesan besar dalam hatinya.

"Iman saya pada masa ini perlahan-lahan berkembang, sejak abang saya meninggal, saya dapat merasakan ia mempunyai kesan yang besar pada hati.

"Walaupun ketika itu saya tidak solat lima kali sehari, saya tidak menutup pintu dan hubungan dengan Allah," ujarnya.

Mizz Nina berkata, pada tahun 2009, dia masih tidak tahu membaca Alif Ba Ta dan hanya menghafal surah Al Fatihah serta tiga Qul.

Dia mula belajar membaca al-Quran pada usia 33 tahun.

"Tidak pernah saya bayangkan, saya akan berada di ruang yang sama sekali berbeza dalaman dan luaran, Allah menuntun saya kembali untuk mengamalkan Islam & sekarang saya sedang belajar kursus diploma Ta'leem Al-Quran, melakukan dakwah dan perbincangan.

"Tidak pernah terlambat untuk mempelajari al-Quran! Kamu perlu bertekad untuk membuat perubahan dan usaha untuk ke jalan Allah," ujarnya.

Mizz Nina, #10yearchallenge

Artikel Lain