suria

Zee Avi tak gemar barangan mewah... Cukup dapat pemuda bersifat 'ringkas'

Zee Avi sukakan seorang lelaki yang ringkas dan dapat menerima kebaikan dan keburukan dirinya.

PENYANYI yang mengembangkan kerjayanya di Amerika Syarikat, Zee Avi memberitahu dia bukan seorang wanita yang cerewet dalam memilih pasangan hidup.

Sebaliknya kata Zee atau Izyan Alirahman, 32, dia hanya mahu mencari seorang pemuda yang bersifat ringkas dan dapat menerima seadanya termasuk memahami kariernya sebagai anak seni.

"Saya sendiri seorang yang ringkas dan tidak gemar kepada beg tangan atau kasut berjenama mewah... Saya sudah cukup gembira kalau dapat hadiah berkaitan alatan muzik berbanding barangan berjenama.

"Dalam mencari teman hidup juga saya mahu cari orang yang 'sekepala' dengan saya, boleh terima kebaikan dan kekurangan diri saya seadanya... Itu sudah memadai.

Zee bakal tampil dengan lagu berbahasa Malaysia berjudul Saya, Kamu.

"Paling penting jejaka itu kena terima makanan saya!" Katanya kepada mStar Online.

Zee yang popular menerusi lagu Kantoi ditemui pada sidang media pelancaran konsert bersempena International Women's Day with Zee Avi dan NJWA yang diadakan pada Rabu.

Konsert itu bakal diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur pada 22 Mac depan pada pukul 8.45 malam.

Dalam pada itu, Zee memberitahu dia sebenarnya sudah kembali menetap di Kuala Lumpur sejak setahun lalu namun tidak dapat memastikan sama ada dia akan terus berada di negara ini atau pun sebaliknya.

Kata Zee, buat masa ini, dia selesa dapat pulang ke negara asalnya selepas hampir 12 tahun berhijrah ke luar negara selain mendapat pelbagai undangan mengadakan persembahan.

Zee dan NJWA disatukan dalam sebuah konsert pada Mac depan.

"Sebenarnya saya tidak rancang pun nak balik... Asalnya hendak balik sebentar tapi sepanjang tahun lalu pelbagai undangan persembahan saya terima termasuk di Pulau Langkawi dan Bintulu, Sabah termasuk konsert bersama NJWA yang akan diadakan tidak lama lagi.

"Walaupun berada di Malaysia saya tetap ke luar negara bagi menjayakan persembahan di Eropah, China dan beberapa negara lain dan kemudiannya kembali pulang ke Kuala Lumpur.

"Meskipun lama berada di luar negara tetapi perasaan dapat jejak tanah air sendiri itu tidak sama dan sekarang saya semakin berat hati nak meninggalkan Malaysia," ujarnya.

Bercakap mengenai konsert bersama NJWA, Zee berkata, dia sangat teruja dengan kolaborasi itu kerana mengagumi bakatnya selain sudah mengenali penyanyi lagu Got to Go itu sejak 10 tahun lalu.

Zee dan NJWA bergambar bersama penganjur. 

"10 tahun kenal, ini baru dapat kesempatan berkongsi pentas sama. Tambahan pula saya sendiri sering berharap dapat mengadakan konsert di tanah air sendiri.

"Alhamdulillah cita-cita itu akhirnya tercapai. Pastinya pada konsert itu nanti saya akan berikan yang terbaik untuk semua yang hadir," jelasnya.

Tiket bagi menyaksikan International Women’s Day with Zee Avi and Njwa dijual pada harga RM88, RM128, RM188, RM228, RM288 dan RM388 (Meet and Greet) dan boleh didapati di airasiaredtix.com.

Zee Avi, NJWA, Kantoi

Artikel Lain