PELAKON Aidil Aziz tidak akan mengadakan majlis persandingan besar-besaran bagi meraikan perkahwinannya dengan aktres Fasha Sandha pada akhir Mac depan. Sebaliknya kata Aidil atau Mohd Aidil Abdul Aziz, 32, dia dan Fasha sepakat untuk mengadakan kenduri kahwin berkonsepkan kampung pada majlis bertandang sebelah lelaki di Rembau, Negeri Sembilan. "Tidak... Bukan di hotel sebaliknya kami mahu mengadakan kenduri kahwin ala tradisional di sebelah saya nanti bagi meraikan semua tetamu. ARTIKEL BERKAITAN: Aidil Aziz, Fasha Sandha selamat bertunang dalam satu majlis sederhana ARTIKEL BERKAITAN: Bekas suami pesan... Fasha, Aidil jangan tunggu lama-lama "Fasha sendiri sukakan konsep dan suasana kampung dan dia langsung tiada masalah dengan tema itu malah sangat gembira dengannya," kata Aidil kepada mStar Online. Aidil dan Fasha sepakat mahu adakan kenduri kahwin berkonsepkan kampung. Fasha, 35, memaklumkan bakal disatukan sebagai suami-isteri dengan Aidil pada akhir Mac ini di Perlis namun masih belum menetapkan sebarang tarikh sebenar pernikahan mereka. Pasangan itu mengikat tali pertunangan dalam sebuah majlis tertutup pada 18 November tahun lalu. Dalam pada itu, Aidil berkata, persiapan hari istimewanya itu lebih tertumpu bagi meraikan tetamu memandangkan dia datang daripada keluarga yang besar. "Persiapan untuk diri biasa sahaja... Apa yang menjadi tumpuan saya adalah bagi meraikan tetamu yang datang termasuk ahli keluarga saya yang besar. "Selebihnya masih dalam proses dan semuanya berjalan dengan baik ketika ini," ujarnya. Fasha dan Aidil bersama dua anak aktres itu pada hari pertunangan mereka. Tambah Aidil, seperti mana individu bakal berkahwin yang lain, dia juga tidak terkecuali merasai debaran akan bergelar pengantin baharu namun meletakkan keyakinan semua urusan itu dipermudahkan. Katanya lagi, buat masa ini juga dia sedang sibuk dengan karier seninya selain menguruskan perniagaan mangga iaitu Kingmangifera. Fasha sebelum ini pernah berkahwin dengan Rizal Ashram Ramli pada 27 April 2012 namun mereka bercerai pada 20 Januari 2016. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Putra Rayfal Ramli, 5 dan Putri Raysha Jemaima, 4 tahun.