suria

“Ada saja yang tak puas hati, dengki dengan janda, letak tajuk ibu tunggal tak sedap bunyinya” - Amelina

Amelina kini punyai kelab peminat sendiri Amelina Soul. FOTO @fairus_sari

RATU Dangdut Malaysia, Amelina mengakui ada pihak yang kurang senang dengan penggunaan perkataan janda dalam lagu terbaharunya berjudul Janda Anak Enam.

Amelina atau nama sebenarnya Norazlina Amir Sharipuddin, 45, menjelaskan perkataan janda lebih sesuai dan sedap digunakan sebagai lirik berbanding ibu tunggal.

“Ya biasalah netizen ada sahaja yang tidak puas hati dan dengki kata tak elok guna perkataan janda.

“Apa salahnya, janda tu ibu tunggal tapi tak kan nak guna ibu tunggal, tak sedap benar bunyinya macam lagu masyarakat pula.

“Kalau lagu Perawan atau Janda boleh pula mereka terima?” ujarnya kepada mStar Online.

ARTIKEL BERKAITAN: Siapakah identiti lelaki didedahkan anak Amelina? Adakah ia bekas suami?


Majlis Malam Glam Bollydut Amelina dihadiri 100 peminat.

Amelina ditemui pada Malam Glam Bollydut Amelina anjuran kelab peminatnya Amelina Soul di Dewan TKR, Klang.

Penyanyi lagu Rindu ini berkahwin dengan ahli perniagaan Reduan Mahmood 20 Mei 1999 dan dilaporkan bercerai pada 2014.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan enam cahaya mata.

Dalam pada itu, Amelina berkata, lagu tersebut menceritakan tentang kisah kehidupannya sebagai seorang ibu tunggal.

“Saya cakap dengan komposer tidak mahu lagu cinta sebab saya tidak berada dalam fasa itu.

“Saya mahu lagu yang saya nyanyi ada kaitan dengan hidup saya. Itulah jadinya Janda Anak Enam ini.

“Kalau dengar liriknya ia sedih dan menyentuh hati, bagaimana kekuatan seorang ibu tunggal dalam melalui kehidupannya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Amelina berkata, dia bakal tampil dengan single pertama genre balada pada tahun ini.

Sementara itu, bercerita tentang kelab peminatnya, Amelina terharu kemunculan semulanya dalam industri mendapat sokongan ramai.

“Alhamdulillah saya sendiri tidak sangka ada penyokong sehingga tertubuhnya kelab peminat ini. Malah majlis ini sahaja lebih 100 orang yang datang.

“Ramai lagi yang nak datang tapi saya terpaksa hadkan kerana takut tidak terlayan. Biar sedikit tapi saya kenal siapa yang datang, mereka yang lain boleh datang pada majlis lain nanti,” ujarnya.

Amelina

Artikel Lain