suria

Fazley Yaakob persembahkan 'Sweet Table' di kota Macau

Persembahan Sweet Table oleh Fazley di Kota Macau. Foto: Shahrul Izzat Abdullah for SS Creatives.

PENYANYI dan chef selebriti Datuk Fazley Yaakob melangkah setapak dalam bidang masakan apabila dijemput mempersembahkan hidangan ‘Sweet Table’ yang popular di restoran miliknya ke Kota Macau.

Hidangan dari SukaSucre Bistro yang pernah tular itu dipersembahkan di hadapan 50 penduduk negara itu di Taipa Village, pada Ahad.

Menyifatkan peluang tersebut satu penghargaan buat dirinya, Fazley mengakui gembira untuk berkongsi kepakarannya di kota yang digelar Las Vegas Asia itu.

"Ini merupakan apresiasi kepada saya, apabila orang luar pun memandang apa yang saya lakukan.

Media dari Macau dan Malaysia turut menyaksikan persembahan Sweet Table oleh Fazley.

"Saya menggunakan peluang ini untuk memperkenalkan masakan ini, bukan untuk diri sendiri sahaja tetapi saya cuba membawa nama Malaysia ke peringkat global.

"Malah, saya juga ada menerima beberapa jemputan untuk berkolaborasi dengan chef dan hotel-hotel luar negara," katanya kepada mStar Online.

Menerusi sesi itu, Fazley turut dibantu Chef Ricardo Alves yang juga ketua tukang masak di Restoran Tapas de Portugal yang menjadi lokasi acara itu dijalankan.

Selain persembahan masakan, Fazley turut berada di kota itu selama empat hari sempena ‘Teroka Halal ke Macao.’

Fazley turut dibantu Chef Ricardo Alves.

Program itu dianjurkan oleh SukaSucre Creatives, Pejabat Pelancongan Kerajaan Macau (MGTO) dan PNL Travel Sdn. Bhd.

Menurut Fazley, Macau merupakan destinasi pelancongan mesra Muslim yang makin popular.

"Saya menggalas tanggungjawab besar ini untuk membuka mata dan minda orang Malaysia untuk berkunjung ke Macau sebagai salah satu destinasi percutian impian," katanya.

Antara lokasi menarik yang akan dikunjungi Fazley bersama rakan media Malaysia ialah Macao Tower, Parisian Eiffel Tower, Coloane Village dan banyak lagi.

Fazley Yaakob

Artikel Lain