suria

Hidayah tetap dakwa hidupnya daif, terus diselar Amyza Aznan

Amyza Aznan berang hampir diperdaya Hidayah.

INDIVIDU yang menggunakan nama Hidayah dan didakwa sebagai 'scammer' oleh Amyza Aznan akhirnya tampil mempertahankan diri bahawa kehidupannya benar-benar daif dan rumahnya masih tiada bekalan elektrik.

Kenyataan itu ditulis di ruang komen Instagram mStar Online Official yang melaporkan berita ada individu cuba menipu pelakon Amyza Aznan.

"Saya Hidayah kenapa viralkan saya, saya tak salah. Hantar wakil untuk periksa rumah saya. Tengok dulu macam mana.

"Hubungi encik Azam, tanya beliau betul kenyataan yang dibuat rumah tiada bekalan elektrik dan suami sakit benar atau tipu. Beliau kenal dan sudah datang melawat," tulisnya.

Hidayah dipercayai menggunakan laporan sebuah akhbar tempatan yang melaporkan tentang dirinya pada tahun 2017 bertajuk '36 tahun hidup daif' bagi meraih kepercayaan orang ramai atas kemiskinan dihadapinya.

Hidayah menulis di ruangan komen menjelaskan bahawa dirinya berada dalam keadaan susah.

Sebelum ini, pada Rabu, Amyza meluahkan rasa marah dan sakit hati apabila ada individu bernama Hidayah yang meminta bantuan kewangan kepadanya kerana kesusahan hidup.

Menurut Amyza, dia sudah membuat semakan di aplikasi mengesan nombor telefon (True Caller) dan mendapat nombor berkenaan sudah dilaporkan sebagai 'scammer pinjam duit' oleh individu lain yang pernah menjadi mangsa.

Sementara itu, status yang dimuat naik Amyza mendapat reaksi beberapa netizen yang turut menjadi mangsa.

Salah seorangnya Baitie Yazid berkata, dia menerima mesej daripada individu yang sama hujung tahun lalu.

Malah, perkara itu pernah dirujuk ke Jabatan Kebajikan Masyarakat Kelantan (JKM) bagi mengetahui status sebenar individu itu.

Antara komen antara Amyza dan Hidayah di Instagram mStar Online Official

Katanya, nama wanita itu terdapat dalam sistem namun bukan sebagai penerima bantuan sebaliknya bantuan kepada ibu bapanya.

Dia turut diberitahu aduan atas nama Hidayah itu bukan kali pertama.

Katanya, kenyataan yang ditulis berkenaan aktiviti dilakukan Hidayah untuk meminta wang melalui laman sosial Facebook miliknya pernah menjadi viral tahun lalu.

Dalam pada itu perkongsian status luan hati Amyza yang di Instagram mStar Online menjadi medan perbalahan apabila Hidayah mempersoalkan kenapa Amyza tergamak menularkan kesusahannya itu.

Amyza kemudian menjawab dan meminta agar wanita itu tidak terus melakukan penipuan dengan menjaja kisah kemiskinannya yang pernah dilaporkan media beberapa tahun lalu.

Terdapat juga rakan artis dan netizen yang menyokong langkah Amyza itu selain menasihati wanita tersebut supaya bekerja untuk mencari rezeki dan bukannya meminta-minta dengan cara menipu.

Hidayah, Amyza Aznan

Artikel Lain