PELAKON Azwan kombos meluahkan rasa terkilan dan tidak puas hati dengan hasil kerja sebuah syarikat produksi yang berjanji untuk menerbitkan video iklan bertaraf antarabangsa terhadap produk kosmetik miliknya.
Azwan berkata, dia menghabiskan masa 17 jam masa penggambaran dengan beberapa kali bertukar baju.
"Saya rasa macam kena tipu, rasa tidak puas hati dengan hasil video itu. Saya muat naik di Instagram bukan niat nak aibkan mereka tapi saya geram.
"Mereka yakinkan saya untuk buat video iklan dan boleh buat bertaraf antarabangsa dengan harga RM10,000 sahaja," ujarnya kepada mStar Online.
Azwan berkata, dia tidak berpuas hati dengan audio yang tidak jelas, kualiti gambar, grafik dan suntingan yang kurang memuaskan.
Bagaimanapun, Azwan berkata, dia mengakui kesilapannya kerana mempercayai produksi itu tanpa membuat kajian terhadap projek sebelum ini.
"Diorang ingat saya ni orang kaya ke senang-senang nak keluarkan RM10,000. Banyak yang boleh diberi dengan nilai itu.
"Bila komen pasal video ini, macam-macam alasan dia orang bagi antaranya bayar harga ini, dapat nilai macam tu la. Saya sebenarnya tidak terfikir pun nak buat video iklan berskala besar ni," ujarnya.
Azwan berkata, dia menjadikan perkara itu sebagai satu cabaran berada dalam dunia perniagaan.